Muhammad Ibrahim Anggap Zeti Akhtar Sebagai Pemimpin Contoh

Tan Sri Dr Zeti Akhtar Ungku Abdul Aziz
KUALA LUMPUR – Datuk Muhammad Ibrahim, yang akan mengambil alih jawatan gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) daripada Tan Sri Dr Zeti Akhtar, menyifatkan Zeti sebagai seorang pemimpin contoh.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Zeti atas kepimpinan teladannya sejak 16 tahun lepas dan atas khidmat beliau kepada bank pusat selama lebih 35 tahun,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan pameran oleh artis Chang Fee Ming di Sasana Kijang, di sini, kelmarin.

Pejabat Perdana Menteri hari ini mengumumkan, Muhammad, yang merupakan Timbalan Gabenor BMM sejak 2010, dilantik sebagai gabenor bagi tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Mei, 2016.

Datuk Muhammad Ibrahim dilantik sebagai Gabenor Bank Negara yang baru untuk tempoh lima tahun mulai 1 Mei.
Zeti, 68, menjadi Gabenor BNM sejak 2000, ketika Malaysia dan seluruh negara Asia sedang bergelut menghadapi badai ekonomi ekoran daripada krisis kewangan Asia yang berlaku pada 1997/1998.

Beliau yang pernah dipilih sebagai Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia pada 2009 oleh majalah Global Finance akan bersara pada 30 April.

Muhammad berkata ia merupakan satu peluang kepada beliau untuk menyumbang kepada negara, secara umumnya.

“Adalah amat penting untuk kita perlu mengekalkan kestabilan sistem kewangan dan ekonomi kita pada setiap masa.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri dan kerajaan, kerana memberi kepercayaan kepada saya,” katanya. – BERNAMA