"Munafik" Kutip RM18 Juta, "Munafik 2" Bakal Menyusul

Syamsul Yusof
Selepas filem Munafik berjaya mencetus fenomena pecah panggung dengan kutipan setinggi RM18 juta, pengarahnya Syamsul Yusof berhasrat menghasilkan sekuel Munafik 2 hujung tahun ini.

Penerbit filem tersebut, Datuk Yusof Haslam berkata anaknya ada menyatakan hasrat untuk menyambung filem berkenaan selepas mendapat sambutan luar biasa sejak ia ditayangkan bermula 25 Februari lalu.

“Alhamdulillah selepas sambutan luar biasa ke atas filem Munafik, Syamsul menyatakan hasratnya untuk menghasilkan Munafik 2 pula dan penggambarannya pada hujung tahun ini,” ujar beliau memetik laporan sebuah akhbar.

Menelan kos sebanyak RM1.6 juta, Munafik dibarisi pelakon hebat seperti Nabila Huda, Fizz Fairuz, Sabrina Ali, Pekin Ibrahim dan A. Galak.

Tayangan Munafik dilanjutkan lagi sehingga minggu ini berikutan sambutan hangat yang diberikan penonton tempatan.

Munafik merupakan filem seram kedua arahan Syamsul selepas Khurafat yang ditayangkan pada 2011. –Kedahnews.com