Mungkin Ada Kegiatan Curi Pasir Di Pulau Songsong?

Kawasan pantai Pulau Songsong. Gambar kecil: Zuraimie
ALOR SETAR  - Kemunculan sebuah kapal besar yang mencurigakan berdekatan Pulau Songsong, Yan sejak dua bulan lalu menimbulkan rasa tidak senang nelayan dan penduduk di situ.

 Mendedahkan perkara itu, aktivis alam sekitar, Zuraimie Ahmad mendakwa kemungkinan berlaku aktiviti ‘mencuri’ pasir pantai di kawasan berkenaan.

 Beliau berkata, kapal yang berwarna biru itu dipercayai dilesenkan untuk menyedut peluru di dasar laut namun mengorek pasir secara haram di sekitar kepulauan tersebut.

 “Saya terima aduan daripada orang ramai terdapat kapal ambil pasir pantai di Pulau Songsong sejak beberapa bulan lalu.

 “Perkara itu dapat dibuktikan apabila keluasan pasir pantai di pulau itu semakin berkurangan berbanding 2013,” katanya  satu laporan dibuat wakil penduduk di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan namun ditolak atas alasan kapal itu terlibat dengan kerja menyedut peluru.

 “Selepas laporan itu tidak diterima, saya difahamkan aktiviti ‘mencuri’ pasir oleh kapal itu juga tidak lagi kelihatan pada keesokan harinya.

 “Namun, orang ramai mendakwa ia muncul semula dua minggu lalu di lokasi sama,” katanya.

 Zuraimie tidak menafikan Pulau Songsong adalah bekas tempat latihan menembak pasukan tentera, tetapi yang menjadi pertikaian ialah aktiviti mengambil pasir pantai di situ.

 Sementara itu, sumber Agensi Penguatkuasa Maritim Wilayah Utara ketika dihubungi memaklumkan tidak menerima sebarang maklumat mengenai kewujudan kapal untuk menyedut peluru di Pulau Songsong.

 “Kita tak tahu kewujudan aktiviti sudut peluru. Tapi kalau korek pasir, memang kita ada terima sekurang-kurangnya empat aduan dalam tempoh dua bulan ini,” katanya terdapat dua konsesi diluluskan di daerah Yan untuk korek pasir dengan kebenaran Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Putrajaya bagi keluasan lebih tiga batu nautika dan Jabatan Tanah dan Galian Kedah bagi keluasan kurang tiga batu nautika,"katanya.

Sumber: Sinar Harian