Najib Makin Kukuh, Kekal Perdana Menteri - Firma Terkemuka Jepun


TOKYO – Firma kewangan antarabangsa yang aktif membuat kaji selidik mengenai risiko pelaburan, Kumpulan Nomura, mendedahkan kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia kekal kukuh.

Dalam laporan terbaharunya kepada pelanggan-pelanggan syarikat terkenal Jepun tersebut, imej pemimpin Malaysia itu didapati lebih kuat selepas pakatan pembangkang gagal menarik sokongan rakyat akhir-akhir ini.

Menurut laporan kajian risiko Nomura itu, penyertaan Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama-sama dengan ramai pemimpin pembangkang dalam usaha menjatuhkan Najib sebenarnya langsung tidak mengugat kedudukan Najib.

Malah, kerjasama janggal itu menerusi Gerakan Selamatkan Malaysia dan Deklarasi Rakyat konon mengumpul sejuta tandatangan lebih menunjukkan kepincangan strategi pakatan tersebut, kata firma antarabangsa tersebut.

“Kami percaya Najib tidak akan akur dengan tuntutan sedemikian, seperti dapat dilihat melalui perkembangan politik tahun lalu,” kata kenyataan Nomura melalui laporan penuh boleh diperoleh dari laman web firma tersebut.

Menurut firma yang berpangkalan di Tokyo itu, sebahagian besar pemimpin pakatan pembangkang sendiri pun masih lagi meragui niat sebenar rancangan Mahathir mahu mencetuskan gerakan menjatuhkan Perdana Menteri.

“Mahathir malah beri jawapan kurang jelas apabila ditanya siapakah akan ganti Najib sebagai Perdana Menteri dan sama ada musuh Mahathir, Anwar Ibrahim akan dibebas jika gerakan ini berjaya,” kata kenyataan Nomura.

Sementara itu, Kumpulan Nomura yang diasaskan pada 1925 dan mempunyai pejabat penyelidikan risiko tempatan di seluruh dunia; yakin Barisan Nasional (BN) akan menang besar dalam pilihan raya negeri Sarawak.

Nomura bermula di Osaka lebih 90 tahun lalu dan kini memiliki pendapatan 1.4 bilion yen pernah menggegarkan dunia apabila mengambil alih firma sekuriti terbesar global, Lehman Brothers di Amerika Syarikat pada 2008 lalu. – Agensi