Zainal Aziz mewakili Adun Kuala Nerang turun melawat Muhammad Rayyan yang memerlukan bantuan untuk membeli mesin oksigen. |
KUALA NERANG - Hasrat sepasang suami isteri dari Kampung Padang Gelanggang, Mukim Padang Terap Kanan, di sini bagi mendapatkan mesin oksigen untuk anak mereka bernafas akhirnya mendapat perhatian Adun Kuala Nerang.
Annur Syakirah Mahazir, 23, berkata, dia dan suaminya, Mohd Yazid Lazim, 25, berterima kasih kepada Adun Kuala Nerang, Datuk Badrol Hisham Hashim yang prihatin membantu bagi menampung pembiayaan membeli mesin oksigen anak mereka, Muhammad Rayyan yang berusia setahun enam bulan.
"Selepas disiarkan Sinar Harian, wakil dari Adun Kuala Nerang, Zainal Aziz Md Zain telah turun dan mendengar masalah dihadapi kami.
“Kami berharap jika dapat membeli sebuah lagi mesin pernafasan berharga RM20,000 dapatlah anak kami menjalani kehidupan dengan lebih sempurna lagi terutamanya untuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi rawatan susulan,” katanya.
Sementara itu, Zainal Aziz berkata, pihaknya bersimpati dengan keadaan Muhammad Rayyan yang terpaksa menggunakan mesin pernafasan akibat penyakit jantung berlubang yang dihadapi.
Menurutnya, selepas dimaklumkan keluarga itu berdepan masalah kewangan untuk membeli mesin pernafasan, beliau terpanggil untuk membantu.
"Kami juga turut membantu membaiki penyaman udara di rumah Mohd Yazid dan menyumbangkan wang untuk membeli susu serta lampin pakai buang," katanya.
Sumber: Sinar Harian