Nora Danish Terima Teguran Dari Rakyat Iceland


Bukan menjadi perkara luar biasa lagi jika kita melihat orang sedang melepak dan meluangkan masa bersama-sama di restoran, tapi mata masing-masing sibuk tertancap pada telefon pintar masing-masing.

Meskipun pernah disindir menerusi mesej iklan Hari Raya sebelum ini, ianya bagaikan mencurah daun keladi bagi sesetengah rakyat Malaysia yang mungkin terlalu taksub dengan angin perubahan zaman gajet dan "smartphone".

Namun sebenarnya, situasi tersebut adalah amat jarang sekali berlaku di Iceland, sebuah negara bukan Islam.

Ianya dibuktikan menerusi pengalaman aktres comel, Nora Danish berkongsikan pengalamannya ditegur seorang penduduk di sana ketika menjalani penggambaran foto dan video untuk mempromosikan koleksi tudung Owl By ND untuk keluaran Aidilfitri nanti.

Mereka menegurnya supaya tidak leka dengan gajet berkenaan dan meminta agar segera meletakkan telefon bimbit serta berbual dengan ahli keluarganya yang turut menemaninya di sana.

“Masyarakat di sana memang ramah dan juga mengambil berat terhadap orang sekeliling. Pernah ketika kami singgah di sebuah restoran untuk makan, kami masing-masing asyik dengan telefon.

“Melihat keadaan itu mereka menegur kami agar menyimpan telefon dan berbual di antara satu sama lain.


“Apabila melihat sekeliling masyarakat tempatan yang berada di dalam restoran tersebut memang tiada seorang pun memegang telefon dan membuatkan kami malu dan menyimpan telefon,” katanya, dipetik dari mStar.

Difahamkan Nora memilih Iceland kerana terpaut dengan kecantikan dan keindahan negara tersebut yang dipaparkan menerusi filem "Dilwale", lakonan Shah Rukh Khan dan Kajol baru-baru ini. -Kedahnews.com