GEORGETOWN – Polis menahan seorang pemilik akaun Facebook yang memuat naik status berbaur hasutan dan menghina Islam yang menjadi viral sejak Isnin lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata lelaki berusia 26 tahun dan bekerja sebagai operator kilang itu ditahan di Sungai Petani, Kedah pada 12.15 tengah malam semalam.
“Pada Isnin lepas, seorang pegawai polis yang bertugas di Bilik Gerakan (Kontijen Pulau Pinang) menerima satu WhatsApp daripada pemberi maklumat bahawa terdapat satu akaun Facebook seorang lelaki yang memberi komen berbentuk hasutan dan menghina agama serta berbahasa kesat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata polis merampas telefon bimbit dan sim kad yang dipercayai digunakan lelaki terbabit untuk memuat naik status berkenaan.
Abdul Ghafar berkata lelaki itu direman tiga hari sehingga Jumaat ini. – BERNAMA