Seorang peniaga, yang lebih dikenali sebagai Ah Seng, berkata, air tebu yang dijualnya adalah kesinambungan daripada perniagaan ayahnya sejak tahun 50-an.
Menurutnya, walaupun zaman ayahnya sudah berpuluh tahun berlalu, namun sambutan dan sokongan yang diterima daripada masyarakat Melayu tidak pernah terhenti biarpun kini perniagaan itu sudah bertukar tangan.
Ah Seng (kanan) dengan seorang pelanggan gerainya. |
“Namun minuman ini dijual dalam keadaan segar dan berharga RM1 sebungkus atau secawan,” katanya kepada Sinar Harian di sini, kelmarin.
Ah Seng berkata, masyarakat Melayu bukan sahaja dirasakan sebati dengan hidupnya, namun sudah dianggap sebagai keluarga sendiri.
“Orang Melayu di sini tolong perniagaan saya, selain tebu, mereka juga datang beli jeruk dan teh bunga.
“Teh bunga di sini dapat sejukkan badan, selain makanan dan minuman, orang Melayu juga kerap beli barangan runcit di kedai saya," ujarnya.
Sementara itu, pembeli, Omar Fikri Ahmad, 61, berkata, dia merupakan pelanggan setia air tebu Ah Seng sejak berusia 10 tahun.
Katanya, rasa air tebu yang dijual tetap tidak berubah dan masih sama sejak zamannya kanak-kanak hingga sekarang.
“Rasa air tebu di sini asli, malah air teh bunga yang dijual pun rasanya asli, kedua-dua segar dan memang berbaloi dibeli.
“Dalam seminggu, saya akan beli dalam tiga hingga empat kali. Sebagai bekas kawan sekolahnya sejak dahulu, saya sokong perniagaannya,” katanya.
Bagi Omar Azizi Asyraf Othman, 23, pula berkata, keistimewaan air tebu Ah Seng ialah rasanya yang manis walapun tanpa gula.
“Saya mula beli minuman di sini sejak saya di sekolah rendah lagi, masa tu ayah yang bawa saya beli di kedai Ah Seng,” katanya.
Sumber: Sinar Harian