Palsukan Tandatangan Rakan Kongsi, Lelaki Didenda RM1,000


KUALA LUMPUR – Gara-gara memalsukan tandatangan rakan kongsi berhubung permohonan lesen perkhidmatan, seorang lelaki didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Majistret Ahmad Solihin Abd Wahid menjatuhkan hukuman itu ke atas S. Isac Deavadas, 59, selepas tertuduh mengaku bersalah memalsukan tandatangan S.Sanan, 51, di dalam borang permohonan untuk lesen pemakai racun makhluk perosak milik Sanan bagi tertuduh memindahkan lesen tersebut kepada Syarikat NBZ Pest Control.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Protech Pest MGT & Services Sdn Bhd, 57A Damai Complex, Jalan Dato Haji Eusoff, di sini pada 3.40 petang, 4 Ogos, 2014.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Noor Mousa Azaddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum dengan alasan dia yang mempunyai seorang anak merupakan penanggung utama keluarga.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noorelynna Hanim Abd Halim. – BERNAMA