PAN "Ajar" PAS Bagaimana Untuk Jadi Pembangkang?

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abd. Samad
KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Abd. Samad seolah-olah mengambil kesempatan untuk mengkritik atau "mengajar" pemimpin PAS untuk menjadi pembangkang sewaktu menyertai perhimpunan anti-kerajaan di ibu negara kelmarin.

Beliau ketika berucap pada perhimpunan membantah cukai barang dan perkhidmatan (GST) itu di ibu negara mendakwa Malaysia memerlukan rakyat yang berani membantah dan bukan hanya mahu menasihati kerajaan.

“Rakyat malaysia macam ni yang kita nak. Bukan jenis yang nak beri nasihat kepada pemerintah. Kita (boleh) nasihatkan turun. Kalau tak turun, kita turunkan dia,” katanya.

Video ucapan beliau berdurasi 7.02 minit itu disiarkan di laman Facebook rasmi PAN hari ini.

Meskipun Khalid dalam ucapannya tidak menyebut secara langsung parti PAS tetapi semua sedia maklum pemimpin Pakatan Harapan yang didominasi DAP sering menyindir PAS sebuah parti yang hanya mahu jadi `penasihat’ kepada kerajaan.

Khalid dalam pada itu mendakwa pandangan bahawa orang Islam tidak boleh menjatuhkan sebuah kerajaan merupakan pandangan yang songsang.

Dakwa beliau, Nabi Muhammad S.A.W pernah berpesan “akan datang selepas aku pemerintah yang sesiapa yang membenarkan mereka dalam pembohongan mereka dan membantu mereka dalam kezaliman mereka dia tiada kena mengena dengan aku dan aku tidak ada kena mengena dengan mereka”

“Pandangan yang kata tak boleh jatuhkan hanya boleh nasihat ajaran yang bercanggah dengan tuntutan Islam,” dakwanya. –Kedahnews.com