PAS Kecam Pejuang Hak Asasi Suruh Halau Dr. Zakir Naik


KUALA LUMPUR – PAS menyelar pihak tertentu yang biadap menggesa supaya kerajaan menghalau keluar penceramah bebas Dr. Zakir Naik dari negara ini.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, beliau hairan kerana pihak yang membuat gesaan itu sering melaungkan hak kebebasan bersuara selama ini.

“Bukankah ini yang diperjuangkan oleh anda semua? Kebebasan bersuara? Kebebasan memberi pendapat? Kebebasan berhujah?

“Kenapa hari ini anda bersifat pengecut sehingga menidakkan apa yang anda perjuangkan selama ini?,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Semalam, pemimpin Pakatan Harapan merangkap Timbalan Setiausaha Agung parti cauvinis DAP, P. Ramasamy menggelar Zakir yang merupakan pendakwah terkenal antarabangsa sebagai syaitan.

Malah, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang itu berlagak kurang ajar menggesa kerajaan menghalau keluar Zakir dalam kadar segera.

Nasrudin dalam pada itu mengingatkan semua pihak, banyak kes penghinaan terhadap Islam berlaku dalam negara oleh pihak tertentu, tetapi mereka bebas atas nama kebebasan bersuara dan hak asasi manusia. – Kedahnews.com