PAS Ulangi Pendirian Tolak Deklarasi Mahathir - Kit Siang

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mukhtar Suhaili
KUALA LUMPUR – PAS mengulangi pendirian parti itu tidak akan menyokong ‘deklarasi rakyat’ yang kononnya untuk melakukan reformasi ke atas institusi negara ini dengan “tagline” #SelamatkanMalaysia.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mukhtar Suhaili berkata, deklarasi anjuran Pakatan Harapan dan Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak lebih daripada sekadar memenuhi agenda dan cita-cita politik pihak tertentu.

“Kita tidak mahu keluar dari mulut buaya, masuk ke dalam mulut harimau. Ia tidak menyelesaikan masalah dan tidak membawa kepada perubahan yang lebih sejahtera.

“PAS berpegang kepada prinsip demokrasi melihat bahawa apa jua perubahan yang berlaku perlulah dalam kerangka demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas jawapan yang beliau berikan kepada bekas Pendebat Terbaik Asia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menyertai gerakan pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Syed Saddiq yang pernah didedahkan di media sosial sebagai seorang kaki “clubbing” dan disko pada 30 Mac lalu bertemu dengan Mukhtar untuk memujuk PAS menyertai rancangan Pakatan Harapan untuk menumbangkan kerajaan secara tidak demokratik.

Mukhtar dalam pada itu menegaskan, PAS tidak menyokong ‘deklarasi rakyat’ kerana parti itu akan mengatakan yang benar itu benar dan menyebut yang salah itu salah.

“Prinsip yang sihat inilah yang kita akan kita pegang utuh dalam semua tindakan dan keputusan politik tanpa ada piawaian berbeza (double standard),” katanya. -Kedahnews.com