KUALA LUMPUR – Perkhidmatan penghantaran barangan basah menerusi tempahan dalam talian kini dilihat semakin popular.
Perkhidmatan berkonsepkan ‘Kami Membawa Pasar Kepada Anda’ semakin mendapat tempat dalam kalangan penduduk warga kota terutamanya wanita yang bekerja.
Pengusaha tempahan dan penghantaran barang basah menerusi dalam talian, Azeem Mohamad, 28, berkata perniagaan yang diusahakannya sejak lima bulan lepas itu kini semakin mendapat tempat dan mula menarik perhatian ramai.
Beliau berkata pernigaaannya itu menawarkan penghantaran barangan basah seperti seperti ikan, ayam dan sayur-sayuran dengan kos penghantaran hanya RM3 untuk pelangan di seluruh Lembah Klang.
“Perkhidmatan kami adalah bagi memudahkan peranan suri rumah atau wanita berkerja termasuk individu yang dihambat masa dengan urusan harian,” katanya yang juga Ketua Pegawai Strategi PasarTap, kepada Bernama di sini.
Beliau berkata mereka yang berminat dengan perkhidmatannya boleh melayari laman web www.pasartap.com.
“Terdapat barang basah seperti ayam dan sayuran yang kami dapatkan terus daripada penternak tempatan dan peladang selain daripada pasar borong terdekat maka kami sebolehnya menawarkan harga berpatutan walaupun pengguna membeli secara dalam talian,” katanya.
Sementara itu, Nur Diyana Mazlan, 28, yang turut menjalankan perniagaan dalam talian itu berkata pengalamannya mengurus rumahtangga dan sebagai wanita berkerjaya, idea perkhidmatan itu tercetus bagi memudahkan golongan berkenaan.
Telah beroperasi selama lima bulan, Nur Diyana dibantu tiga ‘penghantar’ untuk menghantar pesanan dan dua pembantu proses menyiang lauk basah, jualannya secara purata mendapat tempahan kira-kira 100 seminggu.
Melalui laman sosial facebook dan instagram, Nur Diyana kini boleh berbangga menjadi usahawan dalam talian membekal barang dapur basah yang dihantar sehingga ke pintu rumah pelanggan sekitar Lembah Klang dan Bangi dengan caj berpatutan.
Seawal lima pagi, Nur Diyana berkata beliau akan ke pasar borong untuk mendapatkan barang basah yang ditempah pelanggannya.
Barang basah itu kemudiannya diproses, dibersih dan dibungkus sebelum dihantar kepada pelanggannya.
“Caj penghantaran mengikut jarak penghantaran, kos maksimum penghantaran RM15 sahaja,” katanya. – BERNAMA