Pasukan JDT Terima Anugerah Khas 100PLUS 2015


KUALA LUMPUR – Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerima Anugerah Khas 100PLUS 2015 kerana muncul pasukan pertama dari Malaysia menjuarai Piala Konfederasi Bola sepak Asia (AFC) pada tahun lalu.

Anugerah berprestij kewartawanan sukan itu yang akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan diadakan pada 13 April ini.

“Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) mengiktiraf perjuangan dan kejayaan JDT dalam kempen Piala AFC tahun lalu.

“Mereka telah membuktikan bahawa tiada yang mustahil dalam arena sukan sekiranya semua yang terlibat memegang visi yang sama,” kata Naib Presiden merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pengelola Anugerah SAM-100PLUS 2015, Norismadi Abdul Manap dalam satu kenyataan media hari ini.

Jaringan tunggal pemain tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan yang berlangsung pada 31 Oktober 2015. – Kedahnews.com

Anugerah Khas 100PLUS mula diperkenalkan dalam Anugerah SAM-100PLUS pada 2011.

Senarai penerima Anugerah Khas 100PLUS terdahulu adalaj seperti berikut:

2011 – Pasukan bola sepak kebangsaan bawah-23 tahun – Piala AFF-Suzuki 2010

2012 – Skuad bola sepak Skuad Harimau Muda – Sukan SEA 2011

2013 – Mohd Zulfahmi Khairuddin – Kejohanan Moto3 Dunia 2012

2014 – Skuad hoki remaja – Kejohanan Piala Dunia Remaja 2013

2015 – Pasukan skuasy wanita – Kejohanan Skuasy Berpasukan Wanita Dunia 2014