Pelajar OKU SMK Bakai Diberi Pendedahan Kemahiran Dobi

Pelajar diberi taklimat ringkas bagaimana menguruskan kedai dobi ketika melawat Dobi 1Malaysia, kelmarin.
SUNGAI PETANI - Seramai 14 pelajar Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakai, Kuala Ketil, dibawa ke Dobi 1Malaysia bagi mempelajari kemahiran mendobi, kelmarin.

Penyelaras Program Pendidikan Khas SMK Bakai, Suhaibah Othman berkata, biarpun di kategori OKU masalah pembelajaran, namun setiap pelajar dikehendaki mempelajari beberapa kemahiran bagi membolehkan mereka berdikari.

Menurutnya, kemudahan peralatan seperti mesin basuh dan lain-lain sudah tersedia hasil sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak dermawan.

"Selepas ini, kami akan membangunkan Pusat Dobi Sekolah yang akan menyediakan perkhidmatan buat guru seperti mencuci langsir, alas meja dan lain-lain bagi tujuan kemahiran.

“Dalam masa sama, perkhidmatan ini mampu melatih mereka jadi usahawan dan belajar menjana kewangan untuk digunakan masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, selain diajar mendobi, pelajar turut didedahkan bagaimana menguruskan diri dan melakukan pelbagai aktiviti seperti menanam, mengecat serta keusahawanan.

Sumber: Sinar Harian