Pemandu Teksi Punca Pengguna "Lari" Pilih Uber, GrabCar?


SHAH ALAM - Rata-rata pengguna ada sebab tersendiri memilih perkhidmatan Uber dan GrabCar berbanding teksi.

Bukan tidak mahu menggunakan perkhidmatan teksi namun, pemandu-pemandu teksi ini didakwa sering mengelak untuk pergi ke kawasan-kawasan tertentu terutama kawasan sesak.

Menurut pemilik akaun Facebook, Nurzahirah Zamri, insiden terbaharu dialaminya apabila berseorangan di stesen komuter pada waktu malam dan satu-satunya teksi di situ tidak mahu menghantarnya ke Jalan Pahang dengan alasan kawasan sesak.

“Teksi terus pecut. Masa itu rasa nak nangis pun ada. Dia tak fikir ke saya perempuan di KTM seorang diri pada waktu malam?

“Saya terus muat turun aplikasi GrabCar. Alhamdulillah servis lebih mudah dan cepat. Yang penting sopan atau bahasa mudahnya tak jerkah orang dan tinggi suara.

"Saya akan pakai Grabcar dan Uber saja sekarang. Maaf pemandu teksi, banyak dah pengalaman buruk dengan kalian,” tulisnya.

Sementara pengguna Facebook, Mohd Fickrie Azlan berkata, semalam ketika beliau benar-benar memerlukan khidmat teksi, namun tiada seorang pun pemandu yang mahu menghantarkannya ke destinasi.

“Jadi, saya cubalah Grabcar dan dapat seorang. Selalu sangatlah macam ini. Bila tengok radar teksi dalam aplikasi Grabcar ada banyak. Tapi tak ramai sanggup bersesak.

“Kita faham. Keutamaan memang kepada teksi, tetapi kalau teksi asyik tak ‘available’. Tak ada cara lain dah. Apa pun, Grabcar lebih murah,” tulisnya.

Perkara sama turut diakui pengguna akaun Twitter, Aiman yang menyifatkan perkhidmatan Uber memang murah berbanding teksi.

Pemilik akaun Facebook, Q Haizatt Safian pula berkata, “teksi di Malaysia ni uzur Na'uzubillah. Serba kekurangan tapi harga tambang macam kita naik Limo. Cekik darah betul.”

Malah, menurut pemilik akaun Facebook mengguna nama Aeem Mee, kebanyakan pemandu teksi tidak mahu menggunakan meter.

Namun pemilik akaun Facebook, Syazni Farhan tidak menafikan ada juga pemandu teksi yang bagus.

Isu mengenai teksi dengan aplikasi Uber dan Grabcar ini terus memuncak apabila sekumpulan pemandu teksi bertindak melancarkan mogok di tengah-tengah ibu kota, Selasa lalu gara-gara membantah Uber dan GrabCar yang didakwa menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Sumber: Sinar Harian