Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh… Salam Sejahtera dan
Salam 1 Malaysia. Saya mengambil inisiatif untuk menulis pandangan
peribadi saya tentang pelbagai perkara yang saya fikirkan bersesuaian di
halaman web peribadi ini. Tujuannya adalah untuk berkongsi pandangan
serta pendapat dengan masyarakat umum terutama yang menyentuh bidang
pendidikan di negara kita Malaysia.
Saya adalah anak generasi selepas merdeka, hidup pada zaman rakyat
negara kita masih berusaha gigih untuk membina Malaysia supaya generasi
akan datang dapat hidup selesa sebagaimana yang kita alami pada hari
ini. Semasa bersekolah rendah dahulu di SK Jabi, Pokok Sena, Kedah,
dibesarkan dalam keluarga petani, serba sederhana tetapi menyeronokkan.
Seperti
kanak-kanak lain di kampung, saya ke sekolah di waktu pagi untuk
menimba ilmu sebanyak mungkin melalui ajaran guru di sekolah. Petang
adalah waktu saya membuat kerja rumah, bermain dengan rakan-rakan,
membantu ibu bapa dan mengaji al-Quran. Menonton televisyen atau
mendengar radio merupakan satu kemewahan pada ketika itu; peluang untuk
menonton televisyen kadang-kadang hanya melalui celah tingkap di rumah
jiran yang agak mewah. Biasanya sebelah malam, saya akan mengulangkaji
pelajaran dalam suasana yang sunyi.
Pelbagai
persoalan pastinya akan tercetus dalam pemikiran guru-guru sekarang ini
– bagaimana maklumat dan pengetahuan yang begitu mudah anak-anak kita
dapati ini dapat diterjemahkan kepada ilmu yang dapat dimanfaatkan?
Apakah peranan kita sebagai pendidik dalam berhadapan dengan murid yang
mungkin lebih berpengetahuan daripada kita sendiri? Bagaimana waktu yang
singkat di dalam bilik darjah dapat digunakan sepenuhnya bagi
membangunkan murid yang seimbang ilmu dan akhlaknya?
Guru-guru kita dan warga pendidikan seluruhnya sedang berada di dalam
satu fasa yang agak mencabar kerana kita semua sedang melalui
transformasi pendidikan berskala besar yang bakal mengubah lanskap
pendidikan negara kita. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM)
2013 -2025 adalah untuk kita menyediakan murid kita mendepani masa
hadapan yang kita sendiri tidak dapat bayangkan bagaimana rupa
bentuknya. Telefon pintar yang paling terbaharu yang kita guna pada hari
ini, contohnya, akan outdated dalam masa yang singkat.
Kalau
pada hari ini masyarakat umum sudah boleh memiliki teknologi kereta
yang tidak perlu dipandu dan drone yang boleh merakam visual daripada
udara, bayangkan apakah teknologi yang akan wujud dalam masa lima atau
10 tahun lagi?. Dan apakah kemahiran yang perlu kita persiapkan kepada
murid kita supaya mereka dapat menjadi warganegara global yang berguna?
Ternyata harapan yang besar telah diletakkan oleh masyarakat supaya
sistem pendidikan kita dapat mempersiapkan murid dengan kemahiran yang
relevan bagi mereka berfungsi dengan jayanya di masa hadapan.
Kementerian akan memberikan akses kepada pendidikan berkualiti,
memastikan ekuiti, menerapkan perpaduan dan meningkatkan kecekapan dalam
perkhidmatan. Perubahan cara bekerja warga pendidikan telah pun mula
dilaksanakan menerusi 11 Anjakan; antara yang paling penting adalah
Anjakan 9 iaitu menggalakkan pelibatan ibubapa, komuniti dan sektor
swasta dalam pendidikan.
Apabila
saya bertanya kepada murid daripada mana mereka memperolehi maklumat
untuk digunakan dalam kerja kumpulan, kebanyakan mereka mendapatkannya
daripada internet sama ada di rumah ataupun daripada komputer yang
disediakan di perpustakaan. Mereka nampak lebih yakin berkomunikasi dan
saling bantu membantu dalam tugasan yang perlu disiapkan. Ini dinamakan
Pembelajaran Abad ke-21. Saya percaya bahawa cara yang telah diamalkan
dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini amat berkesan untuk
menerapkan Enam Aspirasi Murid yang dianjurkan dalam PPPM.
Mereka menggalakkan murid untuk berusaha mencari maklumat di luar bilik
darjah melalui pelbagai sumber dan medium. Mereka juga bersifat terbuka
dalam bekerjasama dengan ibu bapa murid kerana mereka sedar bahawa
keberhasilan murid memerlukan kerjasama kolektif daripada semua pihak.
Saya bersyukur kerana rata-rata guru yang saya temui mempunyai sikap
yang positif terhadap transformasi pendidikan yang berlaku sekarang, dan
saya yakin mereka bersedia untuk menjadi guru masa hadapan kepada murid
masa hadapan.
Namun begitu, di beberapa sekolah kelajuan internet tidak sebagaimana
yang diharapkan. Pernah seorang guru memberitahu saya – “Ibarat kita ni
pandu Ferrari Datuk Seri, tapi kena lalu jalan lori balak.” Sedikit
sebanyak kekangan ini akan menjejaskan proses pembelajaran murid apabila
guru-guru berhadapan masalah teknikal dalam pengajaran. Sememangnya
perkara ini dalam perhatian Kementerian, dan kita sedang berusaha untuk
menambah baik perkhidmatan sedia ada seiring dengan perubahan yang
berlaku dalam era teknologi global yang berkembang dengan terlalu pesat
ini.
Semasa
Perutusan Tahun Baharu 2016 pada bulan Januari lalu, saya telah menyeru
kepada guru-guru supaya lebih kreatif dan inovatif dalam menangani
sebarang masalah dalam tugas mendidik anak-anak bangsa kita. Saidina Ali
r.a. pernah berkata – “Didiklah anak-anak kamu mengikut zaman mereka
dan bukan zaman kamu dilahirkan”. Zaman kini sudah sangat berubah,
justeru kita perlu berfikir jauh ke hadapan dan menyediakan murid untuk
zaman itu sekarang.
Sebagai pendidik, kita tidak boleh lagi melihat murid kita dan
berkata “Cikgu akan sediakan kamu untuk SPM tahun hadapan”, tetapi kita
perlu melihat apa yang akan terjadi kepada murid itu dalam masa lima
atau sepuluh tahun akan datang. Apakah bakat yang ada padanya?. Apakah
kebolehannya?. Bagaimana bakat ini boleh dipupuk supaya dia dapat
menjadi rakyat yang dapat menyumbang kepada negara? Bagaimana murid ini
dapat dibangunkan secara holistik supaya dia dapat menghayati nilai
etika dan kerohanian?
Nyata sekali tugas sebagai pendidik merupakan satu tugas yang cukup
mencabar. Namun begitu saya amat yakin sekiranya sebahagian besar
daripada guru-guru kita mempunyai sikap positif dan proaktif sebagaimana
guru-guru yang saya temui sebelum ini, matlamat kita untuk
mentransformasi sistem pendidikan negara akan dapat dicapai. Demi
anak-anak kita dan memartabatkan bangsa Malaysia secara keseluruhannya,
masa depan negara di tangan kita.
SELAMAT HARI GURU 2016
“PENDIDIKAN ITU KEGEMBIRAAN, PENDIDIKAN ITU KEBAJIKAN, PENDIDIKAN ITU KETERBUKAAN”
Datuk Seri Mahdzir Khalid
Menteri Pendidikan Malaysia