Penduduk Gotong Royong Bina Tembok SK Sidam Kiri

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Sungai Petani, merangkap Ketua Umno Bahagian, Datuk Abdul Rahmin Saad merasmikan pagar tembok yang siap dibina di SK Sidam Kiri.
SUNGAI PETANI - Demi keselamatan dan keselesaan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sidam Kiri, di sini, lebih 20 penduduk bekerjasama membantu membina tembok sekolah secara bergotong-royong yang siap sepenuhnya pada 3 Mac lalu.

Guru besar sekolah, Johari Mohamad berkata, beliau sangat menghargai sikap penduduk setempat yang tampil secara sukarela bersama-sama membantu pihak sekolah.

Menurutnya, tembok batu bata itu dibina dengan mengambil kira keselamatan murid kerana laluan sebelum ini hanya pagar dawai.

“Penduduk di sini, bukan saja bergotong-royong bina tembok, malah ada yang sanggup memberikan bantuan wang tunai untuk tujuan itu. Ada juga dalam kalangan guru sanggup memberi RM1,000 seorang sebagai amal jariah masing-masing.

“Sikap begini jika terus diamalkan, ia banyak memberi kebaikan dalam usaha mengeratkan hubungan baik antara guru dan ibu bapa sendiri,” katanya pada Majlis Penyampaian Bantuan Sekolah Transformasi Bumiputera (Best) 2016 kepada 30 murid susah di Dewan SK Sidam Kiri, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Pegawai Seranta Yayasan Pelajaran Mara Kedah dan Perlis, Muhd Akmal Fawwaz Muhamad Ali; Penyelaras Dun Sidam, Mashitoh Mohamad Yusoff dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sidam Kiri, Zulkifli Idrus.

Pembinaan tembok sepanjang 200 meter itu membabitkan kos RM20,000 hasil sumbangan guru dan penduduk sekitar.

Seorang wakil penduduk dari Kampung Banggol, Ishak Alang, 55, berkata, dia bersama beberapa rakan secara sukarela bergotong-royong menyiapkan projek itu yang diketuai Md Daud Jalaludin.

“Pembinaan tembok sekolah ini hasil sumbangan ibu bapa dan guru. Kami melakukan kerja gotong-royong bermula 21 November tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 3 Mac lalu.

“Penduduk gembira kerana sekolah kini mempunyai tembok pagar keselamatan yang lebih kemas berbanding dulu hanya guna pagar dawai biasa,” katanya.

Sumber: Sinar Harian