SUSULAN ‘serangan’ kontroversi yang dikeluarkan Prof. P.Ramasamy, penganjur forum penceramah antarabangsa Dr. Zakir Naik menjemput Menteri Pulau Pinang itu dan isterinya bagi menghadiri ceramah yang akan diadakan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Pihak jurucakap penganjur, Firdaus Wong Wai Hung memberitahu bahawa mereka sedia menaja tiket penerbangan untuk Timbalan Setiausaha Agung DAP itu, sekiranya beliau menerima pelawaan mereka.
“Kami ingin menjemput Prof. Dr. Ramasamy untuk hadir ke ceramah Dr. Zakir Naik di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil sebagai tetamu VIP kami, malahan tidak keberatan menaja tiket penerbangan pergi balik untuk Prof. Dr. Ramasamy dan isterinya,” katanya seperti yang dilaporkan portal Free Malaysian Today.
Sementara itu, mengulas permohonan maaf Ramasamy yang menggelar pendakwah dari India itu sebagai ‘syaitan’, Firdaus memberitahu pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menerima permohanan maaf itu.
“Kami sebagai Muslim tiada masalah untuk menerima permohonan maaf daripada Prof. Dr. Ramasamy, kerana menggelar Dr. Zakir Naik sebagai ‘syaitan’.
“Cuma apa yang ingin kami cadangkan adalah agar setiap wakil rakyat, tidak kira daripada mana-mana parti, seharusnya lebih bijak dalam memilih perkataan untuk disebut mahupun ditulis,” katanya.
Terdahulu, Ramasamy yang juga wakil rakyat Prai menjelaskan beliau telah memadam coretan Facebook pada Ahad lepas selepas menyedari perkataan ‘syaitan’ sebagai tidak sesuai.
Namun, dalam pada itu juga dia memberitahu perkataan (syaitan) itu hanya ditujukan kepada Dr. Zakir Naik sahaja, yang mana seolah-olah membawa maksud permohonan maafnya itu seakan tidak telus. – Kedahnews.com