Pengantin Perempuan "Lesap" Lepas Terima RM16,000 Di Tampin

Gambar Hiasan
Seorang bakal pengantin lelaki terpaksa berputih mata apabila dia telah ditipu oleh bakal isteri dan keluarganya sebaik mendapati kediaman pengantin perempuan tidak berpenghuni pada Sabtu lalu.

Pengantin lelaki yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu juga dikhabarkan sudah pun menyerahkan wang hantaran sebanyak RM16,000 sebelum menjelang hari pernikahannya.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, rombongan pengantin lelaki terpaksa menanggung malu dan rasa tertipu dengan tindakan keluarga terbabit.

Difahamkan bahawa walaupun perbincangan majlis akad nikah dan perkahwinan belah pihak pengantin perempuan telah ditetapkan sebelum ini dan kad jemputan telah dibuat, namun jiran berdekatan memberitahu tidak mengetahui hal tersebut dan tidak mendapat jemputan.

Pasangan itu dikhabarkan sudah mengikat tali pertunangan pada pertengahan tahun 2014.

“Mengikut perjanjian semasa majlis pertunangan, mereka sepakat menunggu tempoh dua tahun bagi memberi peluang kepada bakal pengantin lelaki mengumpul wang hantaran RM19,000.

“Bakal pengantin lelaki yang hanya bekerja sebagai posmen di Kuala Lumpur berjaya mengumpulkan wang hantaran hasil titik peluh bekerja sebagai posmen dengan gaji RM900 sebulan serta bantuan kewangan daripada adik-beradiknya yang lain,” katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Menurut sumber, mangsa bakal mengambil tindakan saman malu berhubung insiden berkenaan kerana bakal pengantin melarikan diri di hari perkahwinan setelah mengedarkan kad jemputan perkahwinan bagi pihak keluarga lelaki.

Sebelum ini kes melibatkan dua belah keluarga pengantin bergaduh menjadi viral apabila rakaman kejadian tersebar di media sosial.

Kejadian dilaporkan berlaku gara-gara pengantin lelaki tidak menyerahkan baki wang hantaran pada majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam. –Kedahnews.com