Pengarah, Kontraktor Ditahan Disyaki Terlibat Rasuah Di Kedah

ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah menahan seorang pengarah sebuah jabatan kerajaan negeri kerana disyaki terlibat rasuah dalam pemberian beberapa tender projek dengan anggaran kos berjumlah jutaan ringgit.

Suspek ditahan ketika tiba di pekarangan pejabatnya kira-kira jam 4 petang semalam.

Turut ditahan seorang kontraktor bergelar Datuk Seri di sebuah pejabat di Sungai Petani, malam kelmarin.

Sumber SPRM Kedah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu untuk membantu siasatan berhubung isu pemberian tender di jabatan berkenaan bagi tahun 2014 hingga 2016.

Terdahulu, seorang individu di jabatan berkenaan yang enggan dikenali mendakwa kebanyakan tender projek dipercayai diluluskan pengarah berkenaan secara ‘dalam selimut’ dan tidak dibuat melalui tender terbuka atau sebutan harga.

Katanya, insiden itu dipercayai berlarutan lebih lima tahun lalu dengan hanya memberi projek kepada beberapa kontraktor tertentu.

Buat rayuan untuk kekal

“Dia sudah diarah tukar ke agensi lain pada 23 Mac lalu dan diminta melaporkan diri pada 7 April. Namun dia dikatakan membuat rayuan kepada seorang menteri dan diluluskan permohonannya untuk kekal sebagai pengarah di jabatan berkenaan.

“Dia diarah tukar oleh ibu pejabat setelah menghidu beberapa salah lakunya tapi dia tetap bertegas dan merayu dikekalkan di Kedah,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, keengganan pengarah itu untuk bertukar ke agensi lain menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan kakitangan jabatan seolah-olah ada suatu perkara yang cuba disembunyikan.

“Sebelum ini jabatan berkenaan menerima peruntukan RM500,000 untuk menyelesaikan masalah di Kawasan Bukit Sena, Pedu. Kedah memang menerima banyak peruntukan untuk Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) bermula tahun ini.

“Dari jumlah itu, sebahagiannya mungkin ada yang dah masuk. Kita bimbang berlaku salah guna kuasa sebab dia pernah memaklumkan secara lisan kepada beberapa kakitangan untuk menawarkan projek kepada mereka yang membantunya sehingga dapat kekal semula sebagai pengarah di jabatan berkenaan,” katanya.

Sebut harga dibuat 'dalam selimut'

Sumber itu berkata, pengakuan pengarah untuk kekal di jabatan berkenaan mungkin disebabkan peruntukan yang terlalu banyak diterima oleh Kedah menerusi RMK-11.

“Dalam isu pemberian tender misalnya, banyak sebutan harga dibuat ‘dalam selimut’ dengan memanggil antara 10 hingga 15 orang kontraktor sahaja ke pejabat sedangkan perbezaan harga tidak munasabah.

“Sejak 2014, lebih 30 projek diluluskan dengan anggaran kos projek berjumlah lebih RM5 juta. Persoalannya macam mana proses itu dibuat? Sedangkan majoriti mereka melakukan kerja-kerja pembinaan terlebih dahulu sebelum permohonan diluluskan,” katanya.

Menurutnya, tindakan itu amat tidak beretika kerana tidak dibuat secara tender terbuka atau sebutan harga sebaliknya memilih kroni sahaja.

“Kalau ikutkan prosedur, dia hendaklah membuat iklan tender terlebih dahulu. Kemudian lawat tapak, beli dan hantar dokumen tender, penilaian jabatan, penentuan kontraktor yang mendapat projek dan baru dibenarkan untuk memulakan projek. Setelah projek itu siap, barulah bayaran akan dibuat.

“Tapi apa yang berlaku amat kita kesali kerana kejadian itu berlaku dipercayai atas kelulusan pengarah berkenaan dan semua projek itu diterima oleh orang yang sama. Cuma yang membezakannya adalah lesen yang digunakan tetapi di sebaliknya tetap individu yang sama,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan projek yang dilakukan oleh kontraktor berkenaan juga dibuat tanpa pengetahuan jurutera daerah jabatan, terutama di Sik, Kuala Muda dan Baling.

“Dalam masalah ini, beberapa jurutera daerah yang tidak bersetuju dengan pendekatan pengarah berkenaan juga akan ‘dihukum’ apabila gaji bulanan mereka dibayar secara gaji harian. Ini sudah tentu menjejaskan perbelanjaan harian mereka, terutama yang ada tanggungan keluarga.

“Ada juga yang ditukarkan ke bahagian lain dalam jabatan. Malah terdapat beberapa kakitangan yang terpaksa meletak jawatan kerana tidak tahan lagi dengan kerenah pengurusan,” katanya.

Orang tertentu dapat projek

Katanya lagi, penglibatan pengarah berkenaan dalam kegiatan itu lebih jelas dalam pengurusan kontrak Jalan Maris pada 2014 dan 2015 serta duit pengurusan banjir di Kedah.

“Pada 2014, Kedah menerima peruntukan RM4 juta untuk pengurusan banjir, tapi tidak ada apa-apa yang dibuat oleh jabatan. Kita pun tak tahu ke mana duit itu hilang.

“Semua jalan yang didaftarkan bawah Kementerian Kewangan akan diberi peruntukan tetapi apabila duit itu sampai ia dibuat secara tertutup dan orang tertentu sahaja yang dikatakan mendapat projek. Sedangkan jurutera daerah pun tidak tahu akan kewujudan projek tersebut,” katanya.

Menurutnya, isu paling ketara yang dapat dibuktikan lagi adalah dalam projek menyelenggara sump dan pam serta kerja-kerja yang berkaitan di rumah pam jabatan berkenaan.

“Projek ini bernilai RM497,000 dan dijangka siap dalam tempoh 12 minggu. Kerja-kerja ini ada aturan yang perlu buat dan di mana ia perlu buat. Tapi yang menjadi persoalan ia tak ikut spesifikasi yang ditetapkan, ada tempat yang tak dibuat dan dibayar pada harga tinggi.

“Contohnya projek memasang pam di rumah pam Kampung Tanjung, Padang Terap yang sepatutnya dipasang paip ‘galvanised’, tapi mereka guna MS Paip yang mana harganya dua kali ganda lebih murah dari nilai keseluruhan projek,” katanya.

Sumber: Sinar Harian