Pengurusan Pertahan Jual Arak Di GSC Plaza Gurney, Pulau Pinang


PIHAK pengurusan pawagam GSC dilihat sebagai tidak bertanggungjawab apabila memilih untuk menjual minuman keras di pawagam mereka.

Seperti yang kita sedia maklum, pawagam antara tempat hiburan keluarga yang mana agak tidak sesuai minuman keras dijual di tempat tersebut.

Semalam GSC telah tampil memberi jaminan bahawa hanya orang dewasa dan bukan Islam dibenarkan untuk membeli bir dari cawangannya.

Pihak GSC membuat kenyataan berkenaan selepas Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA) telah membuat aduan berikutan terdapat jualan alkohol di pawagam itu di mana menurut persatuan berkenaan ia boleh menggalakkan tabiat meminum minuman keras di kalangan pengunjung dan mereka di bawah umur.

“Jualan ini hanya dihadkan kepada pengunjung dewasa di GSC Perdana dan Gold Class lounge.

“Sebagai sebuah organisasi yang bertanggungjawab, pawagam kami mematuhi undang-undang tempatan dan tidak menjual bir kepada orang Islam dan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun,“ katanya seperti yang dipetik dari sebuah laporan portal pro-pembangkang.


Mereka turut memberitahu bahawa para pelanggannya “datang dari semua lapisan masyarakat”.

“GSC sentiasa berusaha memastikan pawagam kami terbuka kepada semua kerana kami percaya dalam memberikan nilai yang besar dan suasana yang selesa untuk semua orang bagi menikmati keajaiban filem pada skrin besar," katanya lagi.

Timbalan Presiden PHA P. Murugiah pada minggu lalu berkata, NGO itu telah mengadu kepada pihak berkuasa berhubung perkara itu.


“(Kami mahu) tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi penjualan arak di pawagam,” katanya.

Agak sedikit mengecewakan sebenar melihatkan tindakan pihak pawagam GSC yang seakan ingin mengaut untung tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat, lebih-lebih lagi buat pengganut Islam.

Lebih memeranjatkan lagi apabila pihak yang mempersoalkan isu penjualan arak yang semakin berleluasa ini adalah daripada pertubuhan bukan Islam. -Kedahnews.com