Pengusaha Di Baling Mengadu Tak Dapat Jual Serai


BALING – Seorang pengusaha serai dari Kampung Tanjung Merbau Mukim Pulai, di sini bakal berdepan kerugian selepas hasil tanamannya seluas 0.575 hektar tidak dapat diambil dan dipasarkan .

Mohd Rosdi Hashim,63, berkata, dia tidak dapat mengambil hasilnya itu kerana perlu menjaga seorang anak dan isteri yang terlantar sakit di rumah.

Menurutnya, kekangan masa itu menyebabkan tanaman miliknya tidak dapat diambil dan dijual menyebabkan serai itu kini hanya menunggu masa untuk mati.

“Sepatutnya tanaman itu dah boleh diambil pada Februari dan Mac baru-baru ini tapi saya kena jaga anak serta isteri yang perlukan penjagaan rapi," katanya.

Mohd Rosdi di hadapan ladang serainya.
Malah katanya, cubaannya untuk memasarkan tanaman serai itu secara pukal kepada pemborong juga tidak berjaya.

Katanya, ia disebabkan rata-rata pemborong mahu serai itu diambil dan diproses siap terlebih dahulu.

"Sebelum ini saya pernah tolak hasil tanaman kepada seorang pemborong di Kuala Pegang tetapi dia maklumkan mereka tak ada pekerja untuk kerat serai itu.

"Jadi jika saya tetap nak jual serai, saya perlu kerat dan proses dahulu," katanya.

Tambahnya, bagi menyelesaikan masalah itu, dia memohon bantuan Biro Pertanian Umno Baling, namun masalah itu tetap tidak dapat diselesaikan.

"Saya harap agensi berkaitan dapat bantu saya selesaikan masalah ini.

"Sebelum ini ada Biro Pertanian bantu saya cari pemborong tapi mereka juga mahu serai yang siap diproses. Saya juga harap ada pihak dapat pasarkan tanaman saya ini," katanya.

Mana-mana pihak yang sudi membeli tanaman serai berkenaan boleh menghubungi Mohd Rosdi.

Sumber: Sinar Harian