Pengusaha Kebun Getah Didakwa Beri Rasuah

Gambar Hiasan
KUANTAN – Seorang pengusaha kebun getah tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan memberi rasuah RM3,000 kepada seorang anggota penguat kuasa Jabatan Perhilitan Taman Negara Pahang pada tahun lepas.

Mohd Shahrulnizam Lazim, 26, dari Kampung Pagi, Ulu Tembeling, Jerantut dituduh berbuat demikian kepada Pembantu Hidupan Liar dari Unit Penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, Mohd Sahfran Suran.

Perkara itu dilakukan di hadapan Restoran Shaeera, Bangunan Mara, Taman Wawasan, di Jerantut lebih kurang 12 tengah hari pada 19 Nov tahun lepas sebagai dorongan untuk Mohd Sahfran melepaskan empat pekerja warga negara Kemboja di bawah seliaannya yang ditahan kerana menceroboh kawasan Taman Negara Pahang.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syafinas Shahbudin di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mei untuk sebutan semula kes dan membenarkan Mohd Shahrulnizam yang tidak diwakili oleh peguam diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin. – BERNAMA