Perak Cadang Perluaskan Hari Tanpa Kereta

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
IPOH – Perak berhasrat memperluaskan kempen Hari Tanpa Kereta di setiap daerah ke arah mewujudkan bandar rendah karbon selain menggalakkan gaya hidup sihat, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Tanpa menyatakan secara terperinci bila hasrat itu akan dilaksanakan, Zambry berkata cadangan tersebut dibuat berikutan sambutan menggalakkan daripada pelbagai pihak, setiap kali ‘Hari Ipoh Tanpa Kereta’ diadakan, pada Ahad terakhir setiap bulan.

“Saya telah mengesyorkan kepada Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah Tempatan untuk memperkenalkan kaedah ini di kawasan masing-masing,” katanya.

Zambry bercakap kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Ipoh Tanpa Kereta di Jalan Raja Dihilir yang bermula dari pukul 7 pagi hingga 10 pagi, di sini semalam.

Hari Ipoh Tanpa Kereta diadakan setiap bulan, sejak Oktober tahun lepas oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Zambry berkata program berkenaan turut mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat dengan pelbagai acara sampingan diadakan.

Sementara itu, MBI akan menganjurkan pertandingan mencipta logo ‘Ipoh Car Free Day’ kepada seluruh rakyat Perak dengan menawarkan hadiah utama RM1,000 berserta Ipad dan tiga hadiah sagu hati bernilai RM500.

Penyertaan boleh dihantar ke Bahagian Pengurusan Kualiti MBI sebelum 20 Mei dan pemenang akan diumumkan pada 29 Mei depan. – BERNAMA