Gambar Hiasan |
"TUNTUTLAH ilmu walau ke negara China", “Syurga itu di bawah tapak kaki ibu”, “Siapa yang kenal dirinya, maka dia mengenali tuhannya”, “Rejab adalah bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan umatku”.
Contoh hadis di atas merupakan antara hadis popular yang sering didengari, malah turut menjadi hujah kebanyakan pendakwah ketika menyampaikan ceramah di hadapan ratusan malah ribuan pendengar yang hadir.
Sedar atau tidak, hadis yang telah tersebar meluas itu hakikatnya adalah hadis rekaan atau palsu. Disebabkan diungkapkan oleh individu bergelar ustaz atau ustazah sejak sekian lama, penipuan yang dibuat menggunakan nama Rasulullah SAW itu dilihat semakin sinonim dengan penerimaan masyarakat di negara ini.
Lebih membimbangkan, umat Islam tanpa rasa bersalah terus mengamalkan dan mempopularkan lagi hadis palsu tersebut kepada orang lain tanpa mengetahui sumber dan rujukan yang sahih daripada matan tersebut.
Mengulas perkara tersebut, Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian al-Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Zulhilmi Mohamed Nor menegaskan, ia bukan perkara remeh kerana mengamalkan dan mereka-reka hadis boleh memberi kesan buruk terhadap agama dan umat Islam seluruhnya.
Katanya, hadis merupakan sumber rujukan utama agama Islam selain daripada al-Quran selepas kewafatan Rasulullah SAW yang membabitkan pengamalan dan kepercayaan seseorang umat Islam.
“Penyebaran hadis palsu bukan sahaja boleh memberi kesan negatif terhadap agama dan umat Islam, tetapi juga akidah seseorang Muslim. Sebagai contoh, mengamalkan sesuatu zikir yang dipelajari daripada hadis palsu adalah sia-sia, kerana hadis palsu bukanlah asas sebenar ajaran Islam.
“Malah, perkara yang membabitkan kepercayaan seperti hadis rekaan berikut, “siapa yang bernama Muhammad, pasti akan masuk syurga” cenderung kepada syirik kerana ia ternyata berbeza dengan perintah agama tidak menilai seseorang individu menerusi nama, keturunan mahupun hartanya,” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Tambah Zulhimi, percanggahan antara hadis palsu dengan sahih dan nas al-Quran membuka ruang dan peluang kepada musuh yang sentiasa memerhatikan Islam untuk memburuk-buruk serta mencari kesalahan agama Islam.
“Oleh kerana bukan daripada sumber yang sama sebagaimana Rasulullah SAW menerima hadis dan ayat-ayat al-Quran, maka seringkali hadis palsu ini bercanggah dengan kedua-dua sumber asal ini. Kesannya mengakibatkan kekeliruan dan umat Islam akan berbalah sesama sendiri.
“Perkara ini juga sekali gus mencemarkan imej Islam dan membuka ruang kepada musuh Islam untuk mendakwa Islam sebagai ajaran bersifat kontra antara satu sama lain,” ujarnya.
PERLU DIPUJI
Dalam pada itu, Zulhilmi turut memuji usaha yang dilakukan pihak penyelidik aplikasi Mutiara Hadis kerana berjaya mengumpulkan hadis bertaraf sahih dalam bahasa Melayu berbentuk digital.
“Pada zaman moden masa kini orang ramai lebih memilih untuk menggunakan kemudahan teknologi. Rujukan hadis ini banyaknya terdapat dalam bentuk tradisional iaitu dalam kitab-kitab yang ditulis.
“Menerusi aplikasi ini umat Islam dapat membuat semakan hadis dengan mudah dan pantas. Disediakan dalam bahasa Melayu membantu memudahkan ramai umat Islam untuk lebih yakin beramal dan menyebarkan hadis tersebut,” katanya.
Beliau berkata, usaha ini diharap dapat memartabatkan hadis sahih sekali gus mengekang pengamalan dan penyebaran hadis palsu dalam kalangan umat Islam.
Sumber: Utusan