Perlu Masa Siasat Anak Kambing Mirip Manusia


JOHOR BAHRU - Tempoh kira-kira dua minggu hingga sebulan diperlukan untuk memuktamadkan siasatan ke atas bangkai seekor anak kambing di Kota Tinggi yang dikatakan menyerupai seorang bayi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor Ismail Mohamed berkata, hanya selepas siasatan, mereka akan dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai penemuan ganjil itu.

"Buat masa ini kita tidak boleh mengesahkan atau menafikan apa-apa kerana kita tidak pernah menerima sebarang kes seperti ini sebelum ini.

"Kami perlu menunggu keputusan dan penemuan dimuktamadkan yang mana ia memakan masa antara dua minggu hingga sebulan," katanya kepada The Star, Isnin.


Beliau berkata arahan telah diberikan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kota Tinggi untuk menyerahkan bangkai anak kambing itu ke makmal Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri untuk ujian dijalankan.

Beliau berkata, kajian akan dilakukan ke atas bangkai itu untuk mengetahui sebab di sebalik haiwan itu lahir dengan beberapa ciri manusia.

Ini termasuk menyiasat kemungkinan bahawa ibu kambing  itu telah 'dicabuli' oleh manusia, katanya.

Peneroka Felda, Ibrahim Basir yang menetap di Felda Sungai Mas di sini berkata beliau amat terkejut apabila menemui salah seekor kambing betina peliharaannya melahirkan anak berwajah pelik.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh rakan perniagaannya, Jamaludin Abdul Samad, 56, kira-kira pukul 11 pagi Jumaat bahawa beberapa bahagian di anggota badan anak kambing itu kelihatan mirip seperti bayi.

"Saya pergi untuk memeriksa dan terkejut pada masa sama teruja kerana keadaan fizikalnya agak berbeza dengan anak kambing lain termasuk berhidung pesek, bermulut lintang dan berkaki pendek," katanya.

Beliau berkata anak kambing itu berbeza kerana tidak mempunyai tali pusat seperti kambing lain yang baharu dilahirkan.

Ibrahim berkata anak kambing itu sudah mati ketika ditemui dan dipercayai dipijak oleh ibunya atau akibat komplikasi lain.

Sumber: mStar