Leachama menunjukkan gambar suaminya. |
ALOR SETAR - Seorang warga emas yang menghidap kanser hampir 10 tahun, dipercayai mati lemas akibat terjatuh ke dalam parit berdekatan rumahnya, kelmarin.
M. Selvarajoo,72, yang tidak bekerja dikatakan keluar dari rumah sekitar jam 1 petang untuk membeli rokok di kedai berdekatan.
Isterinya, S Leachama, 62, berkata, dia yang mengambil upah cuci baju, baharu pulang dari tempat kerja ketika suaminya hendak keluar ke kedai.
“Saya melarangnya keluar ke kedai dengan alasan cuaca panas, tetapi suami tidak mengendahkannya,"katanya ketika ditemui di rumahnya, di Taman Putrajaya.
Menurut Leachama, setelah hampir dua jam suaminya tidak pulang, dia mulai risau dan mengambil keputusan untuk mencari suaminya.
“Ketika berada di hadapan pintu rumah, seorang budak lelaki memberitahu suami saya jatuh ke dalam parit berdekatan,”katanya dia segera ke tempat kejadian dengan harapan suaminya masih hidup.
“Suami saya tidak menunjukkan sebarang perubahan malah sebelum keluar dia tidak menunjukkan tanda-tanda tidak sihat,’katanya.
Menurut Leachama, suaminya yang menghidap kanser tiroid ditebuk di tekak dan bernafas melalui tiub.
Seorang penduduk, A Sundra Lingam, 30, berkata, sebelum kejadian dia ada menumpangkan mangsa ke kedai.
“Mangsa meminta wang daripada saya untuk membeli rokok, namun saya tidak mempunyai wang lalu memberinya sebatang rokok,”katanya.
Menurut Sundra Lingam, dia kemudian meninggalkan mangsa di kedai terbabit kerana mempunyai urusan di rumah kawannya.
“Beberapa minit kemudian saya diberitahu mangsa jatuh ke dalam parit oleh penduduk,” katanya.
Sundra Lingam berkata, seorang saksi memberitahunya ada ternampak mangsa berjalan terhuyung hayang sebelum jatuh tersembam ke dalam parit.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman berkata, ketika pegawai bomba tiba di lokasi mangsa telah meninggal dunia terapung di permukaan parit.
Sumber: mStar