Gambar Hiasan |
BESUT - Pemuda dan Puteri UMNO Besut serta beberapa badan bukan kerajaan (NGO) telah membuat laporan polis terhadap penganjuran pesta "Full Moon Beach Party" di Pulau Perhentian Kecil kerana dikhuatiri akan mengundang pelbagai perkara negatif.
Mereka membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut bagi meminta pihak berkuasa menghalang penganjuran pesta itu yang dikatakan akan diadakan pada 19 dan 20 April ini.
Ketua Pemuda UMNO Besut Azizul Jasmi Mohamed berkata pesta yang akan didakan di Long Beach, Pulau Perhentian Kecil itu dikhuatiri akan mengundang pelbagai perkara negatif terutamanya golongan remaja.
"Pada kebiasaannya di parti seperti itu akan dipenuhi dengan kegiatan meminum minuman keras, pesta liar antara lelaki dan perempuan," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu, pada Ahad.
Ketua Puteri UMNO Besut, Erniesalwani Saidi berkata penganjuran pesta seumpama itu tidak sesuai dengan adat dan budaya tempatan serta ajaran Islam.
Anggota Dewan Undangan Negeri Kawasan Kuala Besut Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman berkata setakat hari ini tiada permohonan dibuat oleh mana-mana pihak untuk menganjurkan pesta itu.
Katanya pesta itu difahamkan akan membabitkan pelancong dari dalam dan luar negara diuar-uarkan di dalam media sosial seperti Facebook dan WhatsApp sejak beberapa hari lalu.
"Kerajaan negeri akan bertindak tegas tidak akan meluluskan pesta itu diadakan sekalipun pihak penganjur membuat permohonan kepada Majlis Daerah Besut (MDB)," katanya kepada Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.
Tengku Zaihan berkata beliau telah meminta pihak MDB dan Pejabat Agama Daerah Besut membuat pemantauan dan mengambil tindakan menghalang pesta itu daripada diadakan.
Sumber: mStar