Polis Kedah Cadang Tubuh Unit Polis Pelancong Di Langkawi

LANGKAWI – Polis Kedah bercadang menubuhkan Unit Polis Pelancong khusus untuk menjaga keselamatan pelancong di Pulau Langkawi, kata Ketua Polis Kedah Datuk Zamri Yahya.

Beliau berkata cadangan itu sesuai dengan status Langkawi sebagai destinasi pelancongan antarabangsa, dan kertas cadangan tersebut akan diserahkan kepada Bukit Aman bagi mendapatkan kelulusan dalam masa terdekat ini.

“Penubuhan unit itu adalah untuk memberi perkhidmatan dan kebajikan pelancong yang memerlukan perkhidmatan daripada mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutup Program Latihan Asas Kepolisan Konstabel Siri 2/2015 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Langkawi di sini, semalam.

Seramai 593 konstabel menamatkan latihan program itu selama enam bulan.

Zamri berkata beliau telah berbincang dengan Ketua Polis Langkawi Supt Dr Che Ghazali Che Awang mengenai cadangan tersebut, dan yakin penubuhan itu mampu meyakinkan pelancong yang datang berkunjung terutamanya dari aspek keselamatan.

Dalam pada itu beliau berkata sehingga kini tiga rakyat Kedah yang mengikuti kumpulan militan Daesh telah terbunuh di Syria.

“Kami juga mengawasi pondok-pondok persendirian bagi memastikan kegiatan IS tidak berlaku di tempat berkenaan,” katanya. – BERNAMA