Polis Tahan Reman Ejen Umrah Tipu Nubhan Untuk Siasatan

ALOR SETAR– Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang wanita telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana dipercayai terlibat dalam kes penipuan pakej umrah yang melibatkan penyanyi, Nubhan Ahmad dan Firman Bansir.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias, suspek ditahan kira-kira pada jam 3 pagi dan direman selama empat hari bermula semalam.

“Pada jam 5 petang semalam (kelmarin), pengadu mendapati suspek tiada di KLIA dan tidak menyerahkan pasport bersama visa kepada kesemua jemaah serta gagal dihubungi,” katanya yang dipetik dari Mingguan Malaysia.

Jelasnya lagi, berdasarkan laporan pengadu, suspek dikatakan telah berjanji akan menguruskan pakej umrah yang merangkumi visa, tiket kapal terbang, makanan dan penginapan kepada jemaah terlibat.

Pada Jumaat lalu, sekumpulan lebih 50 jemaah termasuk keluarga Nubhan dan Firman terkandas di KLIA apabila nama mereka tidak ada dalam senarai di kaunter pendaftaran untuk berangkat ke tanah suci dengan penerbangan jam 8.45 malam.

Difahamkan penipuan tersebut menggunakan nama sebuah syarikat pelancongan di Ampang yang turut melibatkan 51 jemaah lain dengan kerugian kira-kira RM200,000.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Ke­seksaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sementara pemilik syarikat pakej umrah KSB Travel & Tours Sdn Bhd, Ahmad Mahadzir Shaffirin Md. Som menafikan hubung kait wanita terbabit dengan syarikatnya.

Menurutnya, kejadian penipuan dan jemaah terkandas itu hanya diketahui selepas dimaklumkan seorang rakannya melalui aplikasi WhatsApp berikutan mendapat aduan daripada Persatuan Syarikat Pengembaraan dan Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

“Pada 25 Mac lalu, seorang lelaki berusia 57 tahun hadir di syarikat dan bertanya mengenai penangguhan jadual penerbangan ke Makkah yang dijadualkan semula 1 April ini selepas menerima surat.

“Kita minta dia tampil semula bersama dokumen dan butir berkaitan ‘ejen’, tetapi dia tidak datang semula sehingga dimaklumkan mengenai penipuan menggunakan nama syarikatnya selain penggunaan kepala surat,” katanya yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan kepada orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran murah pakej umrah kerana kos penerbangan sahaja mencecah ribuan ringgit. -Kedahnews.com