Ahmad Salim menunjukkan lokasi pondok yang dibina di belakang rumah penduduk. |
BALING - Penduduk di Kampung Seberang Dalam Wang dekat sini, bimbang dengan kewujudan sebuah pondok yang dibina di belakang kawasan rumah mereka kerana didakwa dijadikan tempat aktiviti penagihan dadah sejak tiga tahun.
Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Salim, pondok itu menjadi tumpuan kira-kira lapan penagih dalam satu-satu masa.
"Kami memang terganggu dengan aktiviti berkenaan kerana kumpulan itu selalunya datang awal pagi.
“Mereka ini bukan hanya dari kampung ini tetapi kampung lain juga," katanya.
katanya, pembekal dadah juga dipercayai masuk ke dalam kampung ini dengan pelbagai jenis kereta bagi menggelakkan dikesan.
Menurutnya, tindakan itu dilakukan bagi menjalankan urusan jual beli dadah di antara pembekal dan penjual.
“Mereka masuk ke dalam kampung ini dengan beberapa kereta yang berlainan, nombor pendaftaran kereta juga mungkin palsu dan kadangkala pihak tersebut bermalam beberapa hari di pondok tersebut.
“Pembekal berkenaan bukan orang kampung ini, sepeket dadah dipercayai dijual dengan harga RM30 kepada penagih,” katanya.
Ahmad Salim berkata, aktiviti berkenaan juga sudah beberapa kali diserbu oleh pihak berkuasa, namun masalah tersebut tidak berjaya diselesaikan.
Menurutnya, kegiatan haram tersebut akan terhenti seketika selepas serbuan, namun aktif semula beberapa lama kemudian.
“Penagih dan beberapa pihak lagi ada ditangkap sebelum ini dalam serbuan pihak berkuasa, tetapi aktiviti berkenaan masih berjalan,” katanya.
Katanya, dia kini bimbang jika kegiatan tidak bermoral itu akan mempengaruhi golongan muda terutamanya pelajar.
“Saya harap kegiatan mereka tidak lagi dilakukan di kampung ini dan tindakan mereka itu diambil perhatian oleh pihak berkuasa," katanya.
Sumber: Sinar Harian