PPR Taman Dahlia Langkawi Sewa Tertunggak RM1.6 Juta

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara Datuk Mohamad Yusoff Ghazali (dua,kiri) memberi notis tunggakan sewa kepada penghuni berkaitan ketika Ops Sejahtera Komuniti di Projek Perumahan Rakyat Taman Dahlia semalam. - Foto BERNAMA
LANGKAWI - Sebanyak 422 pemilik rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Dahlia, di sini, dikesan gagal membayar sewa bulanan membabitkan tunggakan berjumlah RM1.6 juta sejak 13 tahun lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara (JPN) Datuk Mohamad Yusoff Ghazali berkata, berikutan itu pihaknya dengan kerjasama kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita rumah terbabit.

"Dalam temubual saya dengan penghuni sepanjang Ops Sejahtera Komuniti selama dua jam di sini hari ini, mendapati mereka (penghuni) memandang enteng kepada syarat pemilikan rumah PPR.

"Ada penghuni tidak menjelaskan tunggakan sewa mencecah RM14,000 dan ini membuktikan dia tidak pernah membayar sewa sejak memasuki rumah terbabit," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu, Mohamad Yusoff mengetuai 50 anggota penguat kuasa mengadakan operasi mengesan pemilik rumah PPR yang tidak membayar sewa bulanan, selain mengesan pemilik yang mengaut ‘untung atas angin' dengan menyewakan kepada pihak lain.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, Nor Saidi Nanyan dan Timbalan Ketua Pengarah JPN, Rohani Omar.

Sumber: myMetro