WASHINGTON DC – Seorang pramugari operator penerbangan tempatan Amerika Syarikat (AS), United Airlines tergamak menggunakan gelongsor kecemasan untuk keluar daripada pesawat yang sesak dengan penumpang.
Wanita tersebut didapati sengaja berbuat demikian kerana mahu keluar dengan cepat setelah pesawat berkenaan mendarat di Houston, Texas menurut salah seorang pegawai syarikat penerbangan itu baru-baru ini.
“Menurut pemahaman kami sendiri, dia sengaja menggunakan gelongsor itu tanpa sebab munasabah atau pesawat mengalami kecemasan,” kata jurucakap United Airlies, Charlie Hobart yang dipetik pelbagai media tempatan.
Tambahnya, para pegawai syarikat penerbangan itu sudah bercakap dengan pramugari tersebut untuk mengetahui mengapakah dia menggunakan gelongsor kecemasan berkenaan dalam insiden yang berlaku pada Isnin lalu.
Menerusi satu video disiarkan di saluran televisyen Houston, KPRC, pramugari itu dilihat mencampakkan begnya ke luar sebuah pintu di belakang kokpit dan menggunakan gelongsor kecemasan untuk keluar dari pesawat.
Pramugari tersebut kemudian mengambil begnya itu dan berjalan selamba sahaja meninggalkan pesawat berkenaan, yang sudah berhenti bergerak sepenuhnya ketika itu di tepi jejambat udara terminal lapangan terbang.
Gambar yang dipaparkan melalui laman web KPRC juga menunjukkan pesawat berkenaan telah pun berhenti di pintu gerbang yang ditetapkan, dengan gelongsor kecemasan itu digunakan bertentangan gerbang tersebut.
Pesawat tersebut yang membawa sejumlah 159 penumpang dan enam anak kapal, dilaporkan selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Bush di Houston setelah terbang jauh dari Sacramento, California.
Pesawat berkenaan daripada jenis Boeing 737-900, buat sementara waktu tidak dapat digunakan lagi untuk kerja-kerja penyelenggaraan, sebelum ia kembali digunakan semula mengikut jadual yang telah ditetapkan.
Pramugari berkenaan, dan kemudian berjaya dikenal pasti oleh syarikat penerbangan tersebut sebagai Julia Price, sudah digantung daripada semua tugas operasi yang menghendakinya melakukan penerbangan di udara.
Media tempatan juga melaporkan, semasa insiden tersebut, satu situasi kecemasan perubatan secara kebetulan berlaku dalam pesawat apabila seorang penumpang tiba-tiba mengadu mengalami masalah pernafasan.
Kesemua penumpang dan anak kapal lain disahkan meninggalkan pesawat tersebut tanpa sebarang masalah atau kecederaan. – Agensi