PRN Sarawak: PAS Ada Potensi Menang Di Kerusi Beting Maro

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman
KUALA TERENGGANU – Calon Pas mempunyai potensi menang dalam PRN Sarawak Ke-11 khususnya di Beting Maro, iaitu Dun yang memperoleh majoriti undi tipis dimenangi parti lawan pada PRN lepas.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, sehubungan itu tiada alasan kepada mana-mana pihak memandang rendah terhadap potensi Pas di kawasan itu.

“Kita kalah dengan majoriti tipis iaitu 300 lebih undi sahaja. Jadi tiada alasan untuk pihak lain kata kita tiada potensi menang khususnya di Beting Maro. Begitu juga kita melihat ada potensi menang di Samalaju dan Lambir.

“Kita jangka menang satu atau dua kerusi. Itu sudah cukup,” katanya kepada Sinar Harian, di sini

Pada PRN 2011, calon Pas, Abang Ahmad Kerdee tewas kepada calon BN, Razaili Gapor dengan majoriti undi sebanyak 391.

Dalam pilihan raya itu, Abang Ahmad memperoleh 2,678 undi, manakala Razaili dengan 3,069 undi.

Sementara itu, mengulas dakwaan pemimpin DAP sebelum ini bahawa Pas tidak akan menang di Sarawak kerana bersekutu dengan Umno, beliau memberitahu bahawa tidak timbul langsung isu tersebut kerana Pas tidak pernah terlibat dengan isu terbabit sebaliknya menegaskan, Pas seteru Umno.

Menurutnya, perkara itu juga tidak boleh dijadikan alasan rakyat akan menolak Pas kerana Umno tidak wujud di Sarawak.

“Kalau dia hendak mainkan isu itu, ia tidak boleh dijadikan isu pun di Sarawak kerana kalau dia kutuk Umno, Umno tidak tanding di Sarawak. Orang Sarawak tidak kenal Umno pun. Yang mereka tahu PBB.

“Tetapi kita merasa isu ini tidak patut timbul. Mereka sebenarnya cuba menakutkan rakyat Sarawak tetapi orang Sarawak tidak takut dengan isu itu,” katanya.

Pas akan bertanding di 11 kerusi pada PRN akan datang dengan melibatkan kerusi Dun Samariang, Pantai Damai, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau, Beting Maro, Kakus, Jepak, Lambir, Pujut dan Samalaju, yang merupakan kawasan Dun yang baharu.

Pada pilihan raya sebelumnya, Pas bertanding di lima kawasan melibatkan Tanjong Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro.

Pas mula masuk bertanding di Sarawak pada 2001, namun tidak pernah berjaya memenangi sebarang kerusi sama ada Dun dan Parlimen.

Sumber: Sinar Harian