Rafizi Ditahan Mengikut Landas Undang-Undang Dan SOP

Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli
JOHOR BAHRU – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mempertahankan tindakan pegawainya menahan Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli di luar kawasan Parlimen tiga hari lalu, dengan menyifatkan ia dibuat berlandaskan undang-undang sedia ada serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau juga menegaskan ia dibuat setelah polis mendapat pengesahan Ketua Akauntan Negara yang menyatakan dokumen yang didedahkan Rafizi adalah kandungan dokumen kerajaan yang diklasifikasikan sebagai sulit, mengikut Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Apa sahaja tindakan yang dilakukan polis semua berlandaskan undang-undang, tidak ada undang-undang yang menyatakan kami tidak boleh menahan individu di mana-mana, kecuali Anggota Parlimen ada imuniti dalam bangunan Parlimen.

“Sudah tentu, kami tidak memilih untuk menangkap orang dalam pekarangan Parlimen tetapi dia ditangkap di luar pekarangan Parlimen. Iaitu di luar pagar selepas balai pengawal.

“Jadi, saya pertahankan tindakan pegawai-pegawai saya dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Pengkritik akan terus mengkritik kenapa kita tangkap di situ tetapi itu tidak menjadi hal, selagi ia mengikut SOP dan dalam lingkungan kuasa yang diperuntukkan kepada polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan Anggota Parlimen itu pada Selasa lepas.

Khalid berkata semua pihak harus sedar bahawa sebarang pendedahan berhubung dokumen rahsia kerajaan adalah satu perbuatan jenayah serius di sisi undang-undang kerana boleh mengancam keselamatan serta kemakmuran yang dikecapi negara.

“Sekalipun nak dedahkan, ada caranya. Tunggu dulu dokumen ini dibentangkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) di Parlimen, selepas itu hendak ulas, ulaslah kerana ia tidak lagi menjadi dokumen rahsia,” katanya.

Penahanan Rafizi yang juga merupakan Naib Presiden dan Setiausaha Agung PKR itu adalah untuk membantu siasatan berhubung dakwaan beliau terhadap Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Perintah reman selama tiga hari ke atas beliau dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya semalam. – BERNAMA