Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli. |
ALOR SETAR - Dakwaan yang mengatakan bekas Senator, Mohamad Ezam Mohd Nor dijangka akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam masa terdekat ditolak mentah-mentah oleh Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.
Menurut Rafizi, dakwaan yang dikatakan bermula dari sebuah portal itu tidak benar dan pihaknya tiada sebarang maklumat yang mendakwa Ezam akan menyertai PKR semula selepas meninggalkan parti berkenaan.
"Tidak benar. Saya tidak ada apa-apa maklumat dan tidak pernah dengar," katanya dalam satu kenyataan.
Rafizi dalam kenyataannya turut menuduh portal tersebut tidak wajar diberi terlalu banyak perhatian dan mendakwa ia adalah merupakan saluran propaganda UMNO.
“SuaraTV merupakan laman yang menjadi saluran propaganda UMNO. Jadi saya rasa tidak wajar diberi terlalu banyak perhatian.
“Berita tentang pertemuan Wan Azizah dan Ezam adalah palsu,”katanya yang dipetik dari Sinar Harian.
SuaraTV mendakwa sumbernya mengatakan Ezam akan kembali menyertai PKR dalam masa terdekat bagi membantu mengukuhkan politik presiden parti berkenaan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Desas-desus berkenaan turut melaporkan bahawa Wan Azizah telah mengadakan perjumpaan serta perbincangan dengan Ezam berkenaan hal tersebut. -Kedahnews.com