Datuk Abdul Rahman Dahlan |
PETALING JAYA - Datuk Abdul Rahman Dahlan mencabar Lim Guan Eng untuk memfailkan saman terhadap beliau atas dakwaan memfitnah selepas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa dirinya sengaja tidak mahu meneruskan debat secara terbuka mengenai isu Taman Manggis.
Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata Lim mengeluarkan kenyataan seperti individu tidak bertamadun dan gagal memperlihatkan gaya seorang ketua menteri.
"Jika anda fikir apa yang saya dedahkan mengenai anda adalah pembohongan, saman sahaja saya kerana fitnah. Saya amat berbesar hati berjumpa anda di mahkamah!," kata Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud menerusi Twitternya pada Ahad.
Kenyataan tersebut dikeluarkan apabila Lim mendakwa Abdul Rahman gagal sebagai seorang menteri selepas debat secara terbuka itu dibatalkan.
Kedua-dua pemimpin itu dijadualkan berdebat secara terbuka mengenai isu Taman Manggis pada minggu lalu tetapi dibatalkan atas nasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Ketua Polis Negara.
Debat itu dibatalkan kerana ia didakwa menyebabkan prejudis terhadap siasatan yang sedang dilakukan.
Sumber: mStar