Raja Muda, Umat Islam Di Perlis Sertai Solat Istisqa'

Gambar Hiasan
ARAU – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail beserta kira-kira 800 orang umat Islam menunaikan sembahyang solat Istisqa (memohon hujan) di perkarangan Istana Arau pagi Selasa.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari, Mufti Perlis, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Solat dianjurkan Jabatan Mufti Perlis dan MAIPs bermula pukul 8.30 pagi yang diimamkan Pegawai Bahagian Fatwa, Jabatan Mufti, Mohd Abd Kadir Sahak.

Mohd Asri memberitahu pemberita kemudiannya solat tersebut mendapat sambutan memuaskan daripada orang ramai walaupun ia dilakukan pada hari bekerja.

“Saya berharap orang ramai terus berdoa bersendirian memohon Allah menurunkan hujan setelah keadaan kemarau agak lama,” katanya.

Hujan turun petang Isnin namun sekejap.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Perlis, Abdul Najib Abdullah berkata hujan turun di kawasan Kangar, Kuala Perlis dan Arau serta sedikit di kawasan utara Perlis yang tidak cukup untuk menambah paras air Empangan Timah Tasoh.

Paras air Empangan Timah Tasoh merekod bacaan 26.10 meter hari ini, merosot berbanding semalam iaitu 26.12 meter.

Paras kritikal empangan itu ialah 26.50 meter. – BERNAMA