Rita Rudaini |
Aktres ibu tunggal jelita, Rita Rudaini dilaporkan terpaksa dimasukkan ke wad di sebuah pusat perubatan di ibu negara sejak Sabtu lalu selepas dia disahkan menghidap demam denggi.
Menurut Rita, 30, pada mulanya dia hanya mengalami sengal-sengal badan dan kesejukan sebelum mengambil keputusan pergi ke hospital pada Jumaat malam lalu.
“Sejurus tiba di hospital, doktor meminta saya membuat pemeriksaan darah kerana bimbang saya terkena denggi. Hasil pemeriksaan darah saya positif dan terus dimasukkan ke wad.
“Setiap hari doktor membuat pemantauan bagi memastikan keadaan saya stabil. Doktor juga perlu memasukkan air ke dalam badan kerana tubuh saya terlalu lemah.
“Akibat daripada kesan suntikan membuatkan saya kurang selesa dan berasa sakit. Semalam saya langsung tidak boleh tidur,” katanya yang dipetik dari myMetro.
Sementara itu, Rita memberitahu, keadaan kesihatannya itu tidak menjejaskan sebarang aktiviti seninya kerana ketika ini dia tidak terbabit dalam mana-mana penggambaran drama.
Bagaimanapun, Rita terpaksa menunda perasmian pembukaan restoran miliknya yang sepatutnya diadakan Ahad ini.
Ini berikutan, doktor masih belum memaklumkan berapa hari lagi dia perlu dirawat di hospital.
Pada masa yang sama, menurut Rita, kedua-dua anak lelakinya itu melawatnya di hospital setiap hari dan kini mereka dijaga oleh ibu dan sepupunya. –Kedahnews.com