ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menyatakan hasrat Kerajaan Negeri untuk berbincang dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) berkenaan pembinaan rumah mampu milik di negeri itu.
Beliau berkata, perbincangan tersebut penting bagi melakukan beberapa pindaaan yang bersesuaian agar rakyat Kedah benar-benar mampu memiliki rumah mampu milik dengan menikmati bantuan perumahan yang dihulurkan oleh Kerajaan Persekutuan itu.
"Kita akan adakan perbincangan dengan PR1MA kerana ini adalah rancangan persekutuan...dari pihak negeri, kita mungkin akan ubah suai dasar perumahan untuk membantu supaya pemaju mudah membangunkan projek PR1MA yang sudah diluluskan di sini.
"Ini kerana walaupun 20,000 projek PRIMA dah lulus tapi ada kekangan di sana sini membabitkan majlis daerah atau perbandaran (PBT)...kita juga akan berbincang dengan bahagian perumahan kalau perlu mewujudkan pusat sehenti untuk mempercepatkan proses pembinaan rumah PR1MA, " katanya.
Ahmad Bashah berkata, bagi tempoh 2013 hingga kini, sebanyak 22,000 rumah mampu milik telah dibina di Kedah, melalui pelbagai agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad dan PR1MA.
Katanya, permintaan terhadap rumah mampu milik dan rumah kos rendah di Kedah adalah tinggi memandangkan lebih 60 peratus rakyat di Kedah tergolong dalam kategori isi rumah berpendapatan 40 peratus terbawah (B40).
Selain itu, Kerajaan Negeri juga berhasrat untuk melakukan pindaan terhadap dasar perumahan negeri bagi memastikan lebih banyak rumah PR1MA dapat dibangunkan di Kedah.
Ahmad Bashah buat pertama kali hari ini mengetuai Kerajaan Negeri di sidang Dewan Undangan Negeri Kedah selaku Menteri Besar sejak dilantik pada 4 Februari lalu dan sidang berkenaan turut dihadiri oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Sidang DUN berkenaan lancar berlangsung dalam keadaan harmoni dan turut memperlihat kemesraan di antara Ahmad Bashah dan Mukhriz, sekaligus menafikan khabar angin yang mendakwa hubungan dingin antara dua pemimpin UMNO itu. -Kedahnews.com