Salwa Sanggup Berhenti Kerja Untuk Jaga Nenek

Siti Salwa (kanan) sanggup berkorban kerja untuk menjaga neneknya yang sedang sakit.
LUNAS - Seorang cucu sanggup melepaskan pekerjaan semata-mata untuk menjaga neneknya yang menghidap pelbagai jenis penyakit di Kampung Batu Lapan, dekat sini.

Siti Salwa Halim, 38, yang juga ibu tunggal beranak dua itu berkata, mengenangkan jasa neneknya, Fizah Mat Isa, 78, yang menjaganya sewaktu kecil, dia rela berkorban.

“Nenek mula sakit sejak sebulan lepas. Anak-anak yang lain pun susah jadi tak dapat nak bantu banyak.

“Jadi kerana kesian dengan nenek saya pun ambil keputusan berhenti kerja dan jaga dia sendiri. Lagipun saya dah anggap nenek macam ibu kandung saya," katanya.

Katanya, walaupun sedar dia akan kehilangan sumber pendapatan tetap setiap bulan untuk menyara dua anak yang masih bersekolah, namun Siti Salwa percaya kebaikan yang dilakukan akan ada ganjaran.

“Nenek dah tak boleh buat apa, hanya mampu baring saja. Kalau nak makan, minum atau mandi saya dan anak-anak akan bantu,” katanya.

Tambahnya, dia juga akan berusaha melakukan perniagaan kecil-kecilan membuat kuih untuk menampung mereka sekeluarga.

“Saya juga tak mahu harapkan siapa-siapa dan akan berusaha untuk teruskan hidup. Tapi kalau ada sesiapa dapat beri tunjuk ajar dalam melakukan perniagaan dari rumah, memang amat saya alu-alukan,” katanya.

Siti Salwa berkata, neneknya itu juga perlu diberi pakai lampai pakai buang 24 jam sehari dan perlukan bantuan sepenuhnya untuk melakukan sesuatu.

Sumber: Sinar Harian