"Saya Hanya Sempat Pegang Baju Adik, Tapi..." - Abang


ALOR SETAR - "Saya hanya sempat pegang bajunya beberapa kali, tapi terpaksa lepaskan sebab arus air deras," demikian kata Muhammad Kamil Salleh, 16, ketika menceritakan detik cemas cuba menyelamatkan adiknya, Muhammad Kamarul Salleh, 15, dari lemas di tali air Kampung Terong Asam, Lepai, di sini, kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika mereka sedang mandi bersama dua bapa saudara pada jam 6.30 petang di tali air terletak kira-kira 100 meter dari rumah.

"Waktu itu adik cuba berenang ke tengah, tiba-tiba dia minta tolong. Saya cuba beri bantuan dengan tarik baju tapi saya terpaksa lepaskan adik kerana arus deras," katanya.

Muhammad Kamarul berkata, dia juga hampir lemas beberapa kali, namun bernasib baik apabila salah seorang bapa saudaranya sempat menghulurkan buluh dan menariknya naik ke darat.

"Bapa saudara cuba beri bantuan pada adik tapi mereka juga hampir lemas.

"Selepas itu adik terus tenggelam. Kami cuba cari tapi tak dapat," katanya.

Mayat mangsa lemas dijumpai dan dibawa ke HSB dengan ambulans.
Katanya, mangsa selalu berenang di tali air itu bersama rakan-rakan dan saudaranya yang lain.

Ibu mangsa, Solehah Abu, 52, pula berkata, sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik itu ada memaklumkan hendak pergi mandi di tali air bersama abang dan adiknya.

"Tak lama kemudian saya nampak orang ramai mula berhimpun di tali air itu sebelum diberitahu anak saya lemas di situ.

"Akibat terlalu sedih, saya tak mampu nak pergi ke tempat kejadian," katanya.

Menurutnya, anaknya itu yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.

"Tahun ini arwah akan duduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tetapi ALLAH lebih menyayanginya. Saya reda dengan apa yang berlaku," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Pegawai Bomba Kanan 11, Mohd Arizal Mahmud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 6.48 petang kelmarin dan tiba di lokasi pada jam 7.13 petang.

“Mangsa ditemui di dasar tali air sedalam kira-kira 2.4 meter oleh penduduk kampung yang turut membantu operasi mencari mangsa pada jam 7.34 petang kelmarin.

"Mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) menggunakan ambulan kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Sumber: Sinar Harian