Saya Tak Rasa Rugi Untuk Menaja Kedah - Aliff Syukri


ALOR SETAR - Pengasas D'Herbs Healthy Sdn Bhd, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman menegaskan bahawa beliau sedikit pun tidak merasa rugi untuk melabur sebanyak RM30 bagi pasukan utama bola sepak negeri Kedah.

Malah katanya, jualan produknya yang mencecah RM2 juta di negeri itu membuatkan beliau tidak ralat untuk 'membalas budi' rakyat negeri Kedah melalui tajaan bagi pasukan bola sepak kebanggaan negeri tersebut.

"Jualan saya saja di negeri Kedah sebulan saja sudah hampir cecah RM2 juta ringgit. Saya tak rasa rugi untuk menaja Kedah," tegas Aliff Syukri dalam sidang media di sini, semalam.

Menurut jutawan yang terkenal dengan slogan "terlajak laris" itu, pasukan Helang Merah adalah lambang kepada perpaduan rakyat di negeri jelapang padi itu dan beliau berharap tajaan dari syarikatnya itu akan melonjakkan lagi pasukan berkenaan ke persada bola sepak negara.

"Saya melihat Kedah ini sebagai satu opsyen terbaik saya dari segi nilai perpaduan.

"Saya mengharapkan pasukan Kedah menjadi satu pasukan yang berpengaruh di Malaysia, insyaAllah," kata Aliff Syukri.

Kata beliau, pasukan bola sepak Kedah mempunyai kelebihan memiliki pemain-pemain muda tempatan yang hebat dan bertenaga berbanding pemain senior yang kebanyakannya sudah dibeli oleh pasukan dari negeri lain.

Jelas Aliff Syukri, beliau amat serius dalam keputusannya membantu skuad Helang Merah dan merancang untuk membeli sebuah rumah di negeri Kedah dalam tempoh terdekat.

"Saya akan beli rumah di sini. Saya betul-betul serius, saya buka 'touch and go'.

Menyentu tentang penglibatannya dengan Helang Merah, Aliff Syukri memaklumkan bahawa beliau akan diberikan jawatan tertentu di dalam Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), namun tidak akan mencampuri tentang hal ehwal pengurusan atau pemain.

Menurutnya, beliau akan diberitahu tentang penggunaan wang yang ditaja, namun tidak akan mempersoal tentang pengunaan wang tajaan tersebut.

"Saya tak request specific jawatan, apa jawatan yang diberi alhamdulillah, saya terima saja," jelas beliau. -Kedahnews.com