Sekolah OKU Di Sg Petani Mungkin Terpaksa Ditutup

SUNGAI PETANI – Sebuah sekolah untuk kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) yang dikenali Persatuan Kanak-Kanak Khas di Taman Nuri, dekat sini bakal ditutup sekiranya masih tidak memperoleh bantuan dana untuk menampung kos pembelajaran murid di situ.

Sekolah yang ditubuhkan oleh Persatuan Kanak-Kanak Khas Taman Nuri sejak tahun 1982 kini mempunyai 46 murid.

Pentadbir sekolah berkenaan, Mejar (B) R Chandra Sekharan berkata, sekolah itu berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan ditubuhkan hasil sumbangan pelbagai pihak syarikat korporat, agensi serta swasta lebih 30 tahun lalu.

Menurutnya, sebelum ini, sekolah beroperasi dengan dana yang diperoleh bagi membayar gaji empat daripada lapan guru selain bayaran perkapita untuk urusan pentadbiran sekolah.

“Bagaimanapun, peruntukan untuk gaji kepada empat guru sebanyak RM57,000 setahun itu dikurangkan kepada RM35,000 setahun beberapa tahun dahulu sehinggalah diberhentikan pada 2015 lalu,” katanya.

Katanya, kini pihak sekolah hanya diberi elaun RM4 sehari bagi setiap murid untuk penyediaan makanan semasa sarapan dan waktu rehat.

Murid tak dikenakan yuran

Chandra yang juga bekas perajurit yang pernah menjadi pendidik di beberapa sekolah sebelum ini berkata, persatuan tidak mempunyai dana tambahan memandangkan tidak pernah mengutip yuran persekolahan.


Menurutnya, sejak dahulu lagi, sekolah berkenaan memberikan pendidikan percuma dengan harapan anak-anak OKU ada tempat ingin dituju, masa mereka diisi dengan bermanfaat dan ibu bapa OKU juga tidak perlu diberi tekanan atau bebanan kos.

“Ia bermatlamat agar mereka dapat belajar pendidikan asas menulis, membaca, mengira dan berdikari dalam aspek pengurusan diri.

“Setakat ini, kita mempunyai 46 murid di mana 26 lelaki dan 20 perempuan berusia antara lima hingga 23 tahun. Kesemua pelajar ini terdiri daripada pelbagai bangsa iaitu 11 Melayu, 11 Cina dan 24 India.

“Antaranya sindrom down, autisme, attention deficiency hyperactive disorder (ADHD) dan masalah pembelajaran. Kita juga mengambil kanak-kanak yang bermasalah jantung, pertuturan, pendengaran dan epilepsy (sawan tarik),” katanya.

Terpaksa buat pinjaman bayar gaji guru

 Menceritakan lebih lanjut, beliau berkata, bangunan sekolah yang terletak di Taman Nuri, Sungai Petani itu adalah hasil sumbangan syarikat pemaju perumahan ketika itu selain sokongan dana oleh beberapa badan bukan kerajaan serta pihak lain.

“Kita mempunyai lapan kelas, sebuah bilik komputer dan bilik jahitan yang dirasmikan Sultanah Kedah, Almarhum Tuanku Hajjah Bahiyah Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 18 Ogos 1984,” katanya.

Chandra berkata, disebabkan krisis kewangan yang dihadapi, pihak pengurusan terpaksa membuat beberapa pinjaman bermula awal tahun 2016 bagi melunaskan gaji tujuh guru, seorang tukang masak, seorang pengawal keselamatan dan pentadbir.

“Masalah kewangan semakin serius pada 2016 apabila tiada lagi peruntukan gaji untuk empat guru dan pembayaran perkapita bagi pentadbiran juga ditamatkan.

“Kami berdepan risiko penutupan sekolah sekiranya tidak menerima mana-mana peruntukan daripada kerajaan mahupun swasta.

“Kos yang diperlukan bagi membayar 10 kakitangan, kos operasi, utiliti dan sebagainya mencecah lebih kurang RM20,000 sebulan," katanya.

Harap bantuan semua pihak

Katanya, beliau sangat berharap agar beberapa pihak termasuk badan korporat, agensi mahupun dermawan prihatin terhadap sekolah ini yang menjadi pusat pemulihan OKU sejak 34 tahun dahulu.

Tambahnya, sesi pembelajaran berlangsung sama seperti sekolah Kementerian Pendidikan bermula Ahad hingga Khamis jam 8 hingga 1 petang.

"Mana-mana pihak yang ingin membantu boleh berbuat demikian melalui akaun HSBC bernombor 331-149567-001 atau datang ke alamat No 37, Jalan Ibrahim, Sungai Petani atau hubungi bendahari kehormat, M Latha (016-6436404).

"Sesiapan yang menyumbang  akan diberikan resit rasmi sekolah dan dikecualikan daripada cukai," katanya.

Sumber: Sinar Harian