Seramai 3.5 Juta Rakyat Malaysia Hidap Kencing Manis

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Penyakit diabetes atau kencing manis di negara ini di tahap membimbangkan apabila kira-kira 3.5 juta atau 17.5 peratus individu berumur 18 tahun ke atas menghidap penyakit itu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya.

Beliau berkata menurut laporan dikeluarkan oleh Kajian Kesihatan dan Kematian Kebangsaan 2015, daripada jumlah itu lebih separuh atau 9.2 peratus adalah daripada kalangan mereka yang tidak mengetahui menghidapinya.

Katanya sehubungan itu kerajaan terpaksa membelanjakan anggaran RM2,684 untuk kos rawatan seorang pesakit diabetes setiap setahun.

“Seseorang pesakit diabetes yang mengalami kegagalan buah pinggang pula perlu membelanjakan RM1,400 hingga RM3,200 sebulan untuk menjalani dialisis.

“Ini satu angka yang besar dan kerajaan terpaksa dibebani bukan sahaja kos penjagaan kesihatan namun juga kerugian akibat kehilangan produktiviti pesakit,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2016 peringkat kebangsaan di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Dr Hilmi turut melancarkan ‘Clinical Practice Guideline Management of Type-2 Diabetes Mellitus’ Edisi ke-5 iaitu garis panduan amalan klinikal rawatan penyakit diabetes.

Katanya faktor yang mendorong kepada peningkatan jumlah penghidap diabetes setaip tahun adalah disebabkan gaya hidup yang malas melakukan aktiviti kecergasan selain tidak mengamalkan diet seimbang.

Beliau menasihatkan supaya setiap individu melakukan saringan awal kesihatan pada setiap tahun seperti semakan terhadap tekanan darah dan kolesterol bagi mencegah penyakit itu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS) Profesor Dr Nor Azmi Kamaruddin berkata garis panduan amalan klinikal itu yang memperkenalkan penggunaan ujian darah A1c mampu mendiagnosi diabetes dengan lebih mudah dan berkesan.

“Sebelum ini seseorang yang mahu mengenal pasti sama ada menghidap diabetes mereka perlu menjalani ujian darah setelah berpuasa selama lapan jam atau melakukan ujian dengan meminum glukosa.

“Namun, melalui ujian darah A1c, mereka tidak lagi perlu berpuasa malahan boleh melakukan ujian ini sejurus selepas makan, malah keputusan ujiannya lebih tepat,” katanya. – BERNAMA