PELAKON dan pengacara popular, Sharifah Shahirah mengesahkan dirinya sedang hamil anak keenam dan usia kandungannya sudah mencecah dua bulan.
Menurut Sharifah Shahirah atau mesra disapa Shirah, 42, berita gembira itu diketahui sejurus selepas dia pulang dari mengerjakan umrah hujung Februari lalu.
“Alhamdulillah, saya tidak sangka hamil sekali lagi selepas kali terakhir pada tujuh tahun lalu. Saya dan suami sangat gembira dan terharu.
“Lebih istimewa apabila khabar gembira itu saya peroleh selepas pulang dari mengerjakan umrah bersama keluarga,” katanya.
Pada masa yang sama, isteri kepada pelakon Ijoy ini mengakui ada timbul kerisauan dalam dirinya kerana hamil di usia 40-an dan telah mendapatkan nasihat doktor.
“Saya berasa seperti hamil anak sulung sebabnya sudah lama tidak melalui situasi ini. Tentu saja saya teruja nak melalui detik sedemikian.
“Apa pun saya perlu lebih berhati-hati kerana bukannya muda lagi. Apa pun, doakan semoga segalanya dipermudahkan Allah,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Sementara itu, bertanya perihal jantina anaknya, pasangan ini mengimpikan anak lelaki.
Hasil perkahwinan bersama Ijoy, mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Airell, 12, Airra, 9, dan Audrra, 7, dan sekali keguguran.
Shirah juga mempunyai seorang anak lagi perempuan, Allisya, 18, hasil perkahwinan pertamanya bersama bekas suami iaitu Jatt (Black Dog Bone). –Kedahnews.com