Skandal RM2.8 Juta, RM59 Juta: "Ketelusan" Guan Eng Makin "Bocor"

PUTRAJAYA – Kontroversi pemimpin DAP terkenal, Lim Guan Eng nampaknya bukan sahaja berkaitan banglo mewahnya bernilai RM2.8 juta di bawah harga pasaran, tetapi ketirisan penjualan hartanah di Taman Manggis.

Transaksi dilakukan Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) sekali gus menafikan dakwaan Ketua Menteri Pulau Pinang itu konon tanah tersebut dijual kepada pihak ketiga dengan untung atas angin RM59 juta.

Pengarah Stategik Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan, KLIDC menang bidaan tender memajukan tanah Taman Manggis pada 2010 dengan harga RM11,552,208.00.

Ia kemudian berjaya menjual kembali tanah yang asalnya untuk flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu kepada pihak ketiga pada 11 November 2015 dengan harga RM70.6 juta atau menerima keuntungan sekitar RM59 juta.

“Tanah tersebut asalnya dijual kepada KLIDC pada 16 Jun 2010 apabila kerajaan DAP Pulau Pinang telah menganugerahkannya menerusi proses ‘request for proposal‘ (RFP) bernilai RM11,552,208.00, jelas beliau.

Ia bersamaan RM232 perkaki persegi – harga yang dipercayai lebih rendah dari nilai pasaran pada waktu itu, ujar beliau yang juga Menteri Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesejahteraan Bandar pada sidang media di sini.

“Dengan pendedahan hari ini, pada kadar nilai, tanah itu sebelum ini diperuntukkan bagi pembinaan rumah rakyat bagi manfaat golongan miskin telah dijual kepada syarikat swasta di bawah nilai pasaran.

“Malangnya tiada kerja fizikal dijalankan di tapak pembinaan selama enam tahun selepas diberikan. Projek ini kemudiannya dijual semula kepada pihak ketiga 5 tahun kemudian dengan harga RM70.6 juta.

“Nilai itu bermakna pihak penjual sebenarnya sudah mendapat jangkaan keuntungan bernilai RM59 juta sementara projek asal tersebut masih belum lagi pun dibangunkan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Ujarnya, nilai tanah Taman Manggis di Jalan Burmah, George Town hari ini berharga lebih RM1,000 perkaki persegi, namun KLIDC mendapat tender tersebut dengan harga murah sekitar RM232 perkaki persegi sahaja.

Tambah Abdul Rahman, Guan Eng perlu menjawab, mengapa syarikat KLIDC yang disertai bekas pemilik banglonya, Phang Li Koon, diberikan keistimewaan sedemikian luar biasa oleh pihak kerajaan negeri sendiri.

Jelas beliau lagi, KLIDC dimiliki pemegang saham terbesar iaitu Datuk Tang Yong Chew dan isterinya Datin Chou Sa-Li bergabung bersama-sama dengan Victoria International Medical Centre Sdn Bhd (VMC).

VMC turut dimiliki Yong Chew yang menjual saham syarikat kepada pihak ketiga masing-masing dengan harga RM18,643,628 (KLIDC) dan RM52,000,00 (VMC) – sekali gus jumlah keseluruhan bernilai RM70,643,628.

“Selepas pendedahan saya di Parlimen pada 23 Mac lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang menafikan konon tanah ini dijual kepada pihak ketiga. Bagaimanapun, apa yang tidak beliau nyatakan ialah tanah ini kini dimiliki KLIDC.

“Penjualan saham KLIDC turut beri kesan kepada status penjualan tanah itu,” jelasnya sambil mendedahkan kerjasama antara VMC dan KLIDC secara kebetulan terjalin dua bulan selepas KLIDC berjaya memenangi tender Taman Manggis.

“Merujuk kepada mana-mana piawaian projek kerajaan dan perjanjian penswastaan, penjualan atau tukar hak milik sebuah syarikat, yang telah dianugerahkan satu projek, perlu dimaklumkan dan kelulusan mesti diperoleh daripada Kerajaan Negeri sebelum jualan saham boleh berkuatkuasa,” jelas Abdul Rahman.

“Berdasarkan penyata akaun terkini yang diserahkan kepada SSM, KLIDC mempunyai modal berbayar sebanyak RM300,000, disamping memiliki nilai aset bersih negatif berjumlah RM1.2 juta.

“Sementara itu, VMC, diwujudkan pada September 2010, dua bulan selepas tanah Taman Manggis dianugerahkan dan mempunyai modal berbayar berjumlah RM500,000 dan nilai aset bersih negatif sebanyak RM1.6 juta.

“Perjanjian ini juga menyatakan pada Julai 2011, VMC telah melaksanakan perjanjian usahasama dengan KLIDC untuk membangunkan tanah tersebut,” kata beliau lagi.


Abdul Rahman dalam pada itu menjelaskan akan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bagi siasatan lanjut pihak berkuasa. - Kedahnews.com