Skandal Taman Manggis: Guan Eng Diajukan Soalan "Cepu Mas"


HAH ALAM – Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan mendedahkan beberapa persoalan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung isu tanah Taman Manggis yang didakwa sudah ditukar milik dan bukan lagi milik syarikat Kuala Lumpur International Dental Centre (KLIDC) kerana dijual kepada pihak ketiga.

Menerusi kemas kini di laman sosial Facebooknya, Abdul Rahman mempersoalkan mengenai pemberian Request For Proposal (RFP) kepada KLIDC pada tahun 2010 sedangkan laporan audit KLIDC Sdn Bhd bagi tahun tersebut menyatakan bahawa pihak berkenaan mempunyai aset negatif termasuk wujudnya keraguan yang ketara sama ada syarikat berkenaan dapat melaksanakan usaha secara berterusan.

“Sekiranya beliau (Guan Eng) menjawab tidak menyedari mengenai pemberian tersebut, apakah langkah yang diambil oleh beliau untuk meminta syarikat berkenaan membetulkan kedudukannya?” soal Abdul Rahman.

Selain itu, Abdul Rahman yang juga merupakan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) turut mempersoalkan mengenai kenyataan Guan Eng yang menyatakan tanah berkenaan terlalu kecil untuk pembinaan blok rumah pangsa 17 tingkat namun sesuai untuk pembinaan pusat perubatan serta sebuah hotel 30 tingkat.

“Adakan anda (Guan Eng) bersetuju bahawa nilai komersial tanah Taman Manggis akan meningkat dengan ketara selepas kerajaan negeri menukar syarat-syarat penggunaan tanah dari pusat perubatan 100 peratus kepada pembinaan bangunan tinggi 30 tingkat yang terdiri daripada 70 peratus perkhidmatan pangsapuri dan 30 peratus pusat perubatan hanya dalam tempoh setahun selepas RFP dianugerahkan kepada KLIDC?,”soalnya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut bertanyakan kepada Guan Eng mengapakah kerajaan negeri Pulau Pinang masih memberikan kelulusan perancangan dan pembinaan kepada KLIDC walaupun syarikat berkenaan menunjukkan aset negatif, sifar pekerja dan tiada pendapatan.

Tanya beliau, adakah sudah menjadi amalan biasa bagi projek penswastaan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang yang ditinggalkan terbiar dan mundur selama hampir enam tahun tidak dikenakan sebarang pembatalan atau penalti oleh syarikat yang dianugerahkan RFP.

“Sejak tahun 2008, kerajaan negeri Pulau Pinang telah terlibat dalam pelbagai jualan tanah negeri dan tawaran hak penambakan didakwa bernilai antara RM30 bilion dan RM40 bilion.

“Apakah jaminan Guan Eng kepada rakyat Pulau Pinang bahawa tidak ada tawaran pintu belakang yang akan membantu pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan daripada nilai tanah kerajaan negeri dan mengorbankan nasib rakyat?," soal Abdul Rahman.

Tambahnya, adakah Guan Eng akan memohon maaf kepadanya berikutan daripada menggelar dirinya sebagai “menteri khabar angin” memandangkan pemilik KLIDC, Datuk Tang Yong Chew telah mengesahkan bahawa perjanjian jual beli tersebut sememangnya telah ditandatangani.

“Ini adalah bertepatan dengan apa yang didedahkan oleh saya sebelum ini. Adakah anda (Guan Eng) akan memhon maaf berikutan memanggil saya “Menteri Khabar Angin” apabila saya mendedahkan perjanjian sebenar yang mana telah disahkan wujud,”katanya.

Abdul Rahman dan Guan Eng sebelum ini bersetuju untuk berdebat mengenai isu Taman Manggis sebelum ia ditangguhkan.

RTM dan TV3 kedua-duanya menawarkan untuk menyiarkan debat tersebut secara langsung.

Sumber: Sinar Harian