Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz |
JOHOR BHARU - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Tan Sri Mohamad Aziz bingung berhubung pendedahan anak lelakinya berkaitan komplot untuk menyingkirkan Datuk Mohamed Khaled Nordin selaku Menteri Besar.
Malahan, beliau sendiri tidak tahu jika gerakan seperti mana didakwa anaknya, Shukur Mohamad menerusi laman media sosial, Facebook itu benar-benar berlaku.
"Saya mahu tahu hal sebenar berhubung perkara ini tetapi setakat ini dia masih tidak menjawab panggilan telefon saya dan saya masih menunggu dia menghubungi saya semula.
"Jika benar ada gerakan sepertimana kata Shukur, saya mahu tahu dari mana dia peroleh maklumat itu dan siapa lagi yang terlibat," katanya ketika dihubungi The Star, Rabu.
Mohamad, yang juga Timbalan Pengerusi Tetap Umno berkata, Shukur dan anaknya yang lain adalah ahli Umno di Bahagian Sri Gading.
"Saya terima banyak panggilan bertanyakan mengenai posting anak lelaki saya, tetapi seperti saya katakan tadi, saya tidak tahu menahu mengenai perkara ini," katanya yang enggan mengulas lanjut sehingga mendapat penjelasan Shukur.
Menurut tulisan di laman Facebook, Shukur mendakwa ada gerakan yang diketuai seorang timbalan menteri dari Johor untuk menukar Menteri Besar negeri itu.
"Ada satu gerakan yang sedang dibuat oleh seorang timbalan menteri untuk mencantas menteri besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
"Gerakan ini kononnya hendak meletak timbalan menteri ini menjadi menteri besar Johor bagi pihak (Datuk Seri) Najib Razak menjaga dan mengekang ahli Umno Johor," tulisnya.
Shukur juga memberitahu, timbalan menteri itu menawarkan RM1 juta kepada individu yang mampu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya 20 cawangan Umno bahagian Pagoh untuk menolak bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ketua bahagian.
Pemimpin politik yang sama juga mahu Umno negeri itu yang dipengerusikan Mohamed Khaled supaya mengadakan forum terbuka kepada semua ahli di negeri berkenaan dan menjemput Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Aziz Kaprawi; Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Puad Zakarshi; Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan dan Muhyiddin.
Setakat ini, Shukur tidak dapat dihubungi bagi mendapatkan maklumbalas lanjut berkaitan isu ini.
Sumber: mStar